Harian Metro

Mengadu sakit dada

- Suzianah Jiffar dan Olivia Miwil cnews@nstp.com.my

 Mendiang Siringan hadapi masalah jantung Februari tahun lalu

Mendiang Menteri Pembanguna­n Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah, Datuk Siringan Gubat yang meninggal dunia di Hospital Gleneagles, di sini, kelmarin, akan disemadika­n di Kampung Kinirasan, Ranau, Sabtu ini.

Ketua Penerangan Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandus­un Murut Bersatu (UPKO), Albert Bingkasan berkata, mayat mendiang yang juga pemangku Timbalan Presiden UPKO ketika ini berada di Bilik 1E, Wisma Fook Lu Siew, Batu 2, Jalan Tuaran, di sini.

“Keluarga mendiang membawanya ke hospital swasta itu awal malam tadi (kelmarin) selepas menghadapi kesukaran pernafasan sebelum dilaporkan meninggal dunia jam 10.57 malam.

“Mendiang akan dibawa balik ke kampung halamannya di Kampung Kinirasan, Ranau, Jumaat ini dan disemadika­n pada 24 Mac (Sabtu) ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Difahamkan, kira-kira jam 9 malam kelmarin, mendiang mengadu sakit dada sebelum anaknya membawanya ke hospital swasta itu.

Siringan, 68, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan, Ranau menghadapi masalah jantung selepas menghadiri satu majlis di Ranau pada Februari tahun lalu.

Mendiang meninggalk­an isteri, Datin Rozalind Wong, 58, dan lima anak, Rexie, Runcie, Ritcie, Rosie dan Raie serta seorang cucu perempuan, Charlotte Sophie.

Siringan memulakan karier politiknya sebagai wakil rakyat selepas dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ranau pada 1990 atas tiket Parti Bersatu Sabah (PBS).

Beliau kemudian menyertai UPKO pada 1994 selepas kerajaan negeri yang dipimpin PBS pada ketika itu bertukar kerajaan.

Mendiang meneruskan perkhidmat­an sebagai wakil rakyat di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paginatan sehingga 2004 dan menjadi Ahli Parlimen Ranau pada 2008.

Pada 2013, Siringan kembali mewakili kerusi DUN Paginatan dan menjadi menteri dalam Kabinet negeri sejak Mei tahun yang sama.

Sebelum menyertai politik, Siringan seorang pendidik dan pernah mengajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Bongkud, Ranau dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemabong, Tenom serta SMK Datuk Peter Mojuntin di Penampang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menziarahi keluarga mendiang kira-kita jam 1.30 tengah hari, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia