Harian Metro

BERCUTI LEPAS LELAH

- Saiful Affendy Sapran saifulaffe­ndy@nstp.com.my

 Syafaz cari ruang makan angin untuk lupakan seketika bebanan kerja

Kalau sudah bergelar atlet elit kebangsaan, rutin kehidupan seharian kadang-kadang sibuknya tak ubah seperti perdana menteri.

Apa tidaknya, selepas selesai sesi latihan di sebelah pagi, atlet yang masih menuntut perlu menghadiri kelas dan kembali semula menjalani latihan di sebelah petang.

Sebab itulah, bercuti menjadi antara pilihan utama atlet untuk meredakan tekanan dan ia juga menjadi pilihan kapten skuad bola jaring negara, Nur Syafazliya­na Mohd Ali.

Memulakan cerita, atlet yang lebih senang disapa Syafaz itu tidak menolak kehidupan sebagai atlet sememangny­a cukup mencabar dan melalui hari-hari yang padat.

“Sebab itu bila ada masa lapang saya akan cuba mencari ruang untuk bercuti. Kalau dapat bercuti paling minimum tiga hari pun sudah cukup bersyukur.

“Terus terang saya katakan dengan bercuti dapat melupakan seketika segala beban dan mengembali­kan semangat semula.

“Manusia mana yang tak pernah kenal erti penat. Jadi kalau ada masa, perlu merehatkan badan juga,” katanya.

Bagi Syafaz, dia lebih gemar memilih tempat percutian yang berkait dengan keindahan alam semula jadi.

“Saya lebih suka bercuti di pantai atau kawasan yang berkaitan dengan hutan.

“Kebiasaann­ya saya akan memikirkan soal bajet dulu. Kalau satu-satu lokasi itu memerlukan bajet yang besar, saya akan mengumpul duit daripada awal.

“Cukup saja bajet yang ada, saya akan menempah hotel. Tapi biasanya tempat yang saya pergi bercuti tidaklah mahal sangat,” katanya.

Jelas Syafaz, antara tempat yang sudah dilawatiny­a adalah di Krabi, Thailand, Afrika Selatan serta pelbagai tempat menarik di dalam negara.

“Terbaru, saya bercuti di Krabi bersama-sama rakan sepasukan selepas tamat Sukan SEA tahun lalu.

“Manakala paling yang tidak dapat saya lupakan adalah ketika bersama lawatan sekolah ke Afrika Selatan beberapa tahun lalu. Kami diberi peluang menaiki kenderaan melalui hutan safari. Dari dalam kenderaan itu kami dapat melihat hidupan liar seperti harimau dan singa di depan mata.

Atlet berusia 25 tahun yang menyambung pelajaran di Universiti Putra Malaysia (UPM) itu mengakui tidak pernah berasa puas, sebaliknya turut menyimpan hasrat untuk bercuti di Cappadocia, Turki.

Ditanya mengapa dia teringin untuk ke tempat itu, Syafaz berkata: “Bagi saya ia adalah tempat paling menarik dan sangat cantik. Ada pelbagai tarikan seperti belon udara panas.

“Turki juga adalah negara Islam. Jadi sudah pasti senang untuk mencari makanan halal. Doakan saya dapat mencapai impian ke sana satu hari nanti.”

 ??  ?? SYAFAZ memberi kanggaru makan ketika bercuti ke Australia.
SYAFAZ memberi kanggaru makan ketika bercuti ke Australia.
 ??  ?? SYAFAZ (kiri) bercuti ke Krabi bersama rakan sepasukan selepas tamat KL2017.
SYAFAZ (kiri) bercuti ke Krabi bersama rakan sepasukan selepas tamat KL2017.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia