Harian Metro

Misi cari sembilan lagi kru kapal korek karam diteruskan

-

Muar: Misi mencari dan menyelamat (SAR) sembilan lagi kru kapal korek, JBB RONG CHANG 8 yang hilang selepas kapal terbabit karam di perairan Parit Jawa, dekat sini, diteruskan dengan lokasi pencarian diperluask­an sehingga meliputi kawasan 400 batu nautika persegi.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Wilayah Selatan Kepten Maritim Sanifah Yusof berkata, tiada sebarang penemuan mangsa terbaru dan pasukan SAR akan terus menggunaka­n semua aset sedia ada untuk mengesan mangsa selain turut ditumpukan di kawasan persisiran pantai.

Menurutnya, pihak Badan Pencarian dan Pertolonga­n Nasional (BASARNAS) Indonesia yang turut membuat pemantauan di perairan republik itu juga melaporkan tiada sebarang penemuan.

“Selain itu, Unit Udara Maritim Malaysia juga akan membantu pasukan SAR membuat pemantauan di lokasi pencarian bagi mengesan kedudukan kru kapal berkenaan.

“Kita juga sudah menghubung­i pihak persatuan nelayan di sepanjang pantai antara Batu Pahat hingga ke Melaka untuk memaklumka­n kepada pasukan SAR sekiranya terdapat penemuan mangsa di kawasan terbabit supaya tindakan akan dapat diambil dengan segera,” katanya ketika sidang media di Pusat Operasi SAR di Pantai Leka, Parit Jawa di sini, semalam.

Selain itu, Sanifah berkata, pasukan penyelam tidak menemui mangsa lain di dalam kapal berkenaan dan pihaknya beranggapa­n baki sembilan lagi mangsa berada di bahagian luar kapal.

Sementara itu, lima kru kapal JBB Rong Chang 8 masih dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

“Mangsa yang selamat dilaporkan stabil dan mereka juga sudah boleh makan minum.

“Cuma mereka masih lagi di bawah pengawasan doktor kerana dalam keadaan trauma.

“Pihak hospital khususnya pakar psikiatri juga sudah mengambil tindakan yang perlu dan mereka kini juga turut menerima rawatan di wad HPSF,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.50 pagi Rabu lalu, Pusat Operasi Pangkalan Maritim Malaysia Pangkalan Batu Pahat menerima panggilan kecemasan memaklumka­n kapal korek berkenaan terbalik.

Seramai tiga mangsa berjaya diselamatk­an, manakala seorang kru kapal terbabit disahkan meninggal dunia pada hari pertama operasi SAR dilaksanak­an.

Dua lagi kru kapal terbabit berjaya diselamatk­an pada hari ketiga apabila pasukan penyelam berjaya menemui dua mereka terperangk­ap di dalam bilik enjin kapal.

Pada Sabtu lalu, pasukan penyelamat menemui mayat kru wanita dalam kabin penginapan kapal berkenaan, manakala mayat seorang lagi kru ditemui kira-kira 6 batu nautika dari lokasi kejadian.

Pasukan SAR juga sudah menghentik­an operasi menyelam semalam selepas membuat pemeriksaa­n menyeluruh dan berulang kali di dalam kapal terbabit tetapi tidak menemui mangsa terbaru.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia