Harian Metro

Siasatan mengejut JIM

-

Kota Bharu: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan akan mengadakan siasatan mengejut ke atas mana-mana pasangan yang berkahwin dengan warga asing sebelum permit golongan itu diperbahar­ui sejak Januari lalu.

Pendekatan itu diambil selepas pihaknya mendapati ramai wanita tempatan hanya diperalat warga asing terbabit untuk tinggal di negara ini sehingga kehidupan mereka terabai.

Pengarah JIM Kelantan Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, pihaknya tidak lagi termakan lakonan romantik pasangan berkenaan setiap kali ke pejabatnya untuk perbaharui lesen.

“Kali ini kita bertindak tegas, setiap warga asing yang berkahwin dengan wanita tempatan dan mahu memperbaha­rui permit, kita akan membuat lawatan mengejut di premis atau kediaman mereka.

“Kita mahu melihat sama ada pasangan terbabit menjalani kehidupan sebenar seperti suami isteri yang lain, bukannya pasangan suami-isteri di atas kertas semata-mata.

“Tujuan kita mahu melindungi wanita tempatan daripada terus menjadi mangsa penganiaya­an warga asing,” katanya yang menegaskan bahawa pihaknya akan mengumpul bukti sebelum membenarka­n permit golongan berkenaan diperbahar­ui.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan mempercaya­i lagi apa yang diceritaka­n berbanding melihat realiti sebenar termasuk siasatan di bilik tidur mereka.

“Kita tidak boleh percaya dengan apa yang mereka ceritakan kerana banyak yang tipu berbanding benar. Maklumat akan dikumpul daripada jiran atau pekerja mereka untuk mendapatka­n kesahihan cerita sebelum langkah terakhir memanggil mereka ke pejabat.

“Banyak kes yang kita dapati selepas mereka berkahwin, warga asing itu tidak tinggal serumah dengan isterinya tetapi memberi nafkah bulanan supaya isteri sayang serta menyokong untuk memperbaha­rui permit tahunan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia