Harian Metro

Elak diri muflis pahala di akhirat

-

Di akhirat kelak, kita semua hanya ada dua pilihan sama ada akan berakhir ke ‘negeri’ syurga atau neraka.

Selepas alam dunia ini, setiap manusia akan berpindah ke alam barzakh. Jika petang ini ajal seseorang itu sampai, maka subuh tadi adalah yang terakhir buatnya.

Di alam barzakh tiada lagi ibadat dapat dilakukan sampai bila-bila.

Bagaimanap­un, itu belum lagi berlaku akhirat kerana barzakh adalah alam di mana hanya orang yang sudah meninggal dunia yang tahu keadaannya.

Ia satu tempat asing. Selepas alam barzakh, barulah manusia akan menuju ke alam akhirat. Seperti alam dunia akan berakhir, begitu juga dengan alam barzakh.

Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala kedua, semua makhluk akan dibangkitk­an semula. Kita semua akan bangun berdiri dan bernafas seperti kita hidup hari ini.

Bahkan segala ingatan, umur, rupa paras dan keadaan diri juga sama seperti kita berakhir.

Di akhirat kelak, semua makhluk bernyawa iaitu manusia, malaikat, binatang, jin dan syaitan akan berjalan menuju ke padang mahsyar.

Apabila tiba di mahsyar, semua akan berhenti. Ketika itu, makhluk yang akan ditimbang amalannya hanya ada dua iaitu jin dan manusia.

Bagaimanap­un, manusia akan ditimbang terlebih dulu. Seorang demi seorang sehinggala­h giliran kita.

Malaikat tidak akan ditimbang sebab mereka tidak melakukan dosa. Mereka hanya beribadat kepada Allah SWT pada setiap masa.

Begitu juga binatang, ia akan diadili iaitu binatang yang tidak bertanduk akan menuntut balas kepada binatang bertanduk yang pernah menandukny­a ketika di dunia.

Seterusnya, syaitan dan iblis juga tidak akan ditimbang kerana mereka sentiasa melakukan dosa dan semuanya akan masuk ke neraka.

Bagaimanak­ah nasib bakal ahli neraka ketika ditimbang? Ketika hidup, buku amalan kita dibuka untuk dicatat oleh malaikat Raqib dan Atid.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan apabila surat-surat amal dibentangk­an, Dan apabila langit ditanggalk­an dari tempatnya, Dan apabila neraka dinyalakan menjulang, Dan apabila syurga didekatkan, (setelah semuanya itu berlaku), tiaptiap orang akan mengetahui amal yang dibawanya.” (Surah at-Takwiir, ayat 10 hingga 14)

Kita semua nanti akan menjadi saksi atas apa yang kita lakukan di dunia.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: (Lalu Kami perintahka­n kepadanya): “Bacalah Kitab (suratan amalmu), cukuplah engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (mengenai segala yang engkau lakukan).” (Surah alIsraa’, ayat 14)

Apabila disebut akan datang di mahsyar, terdapat satu kumpulan manusia nanti mereka semua melakukan ibadat wajib seperti solat, puasa, zakat dan amalan orang baik.

Selepas berakhir timbangan amalan, walaupun pada mulanya timbangan kita berat pahala namun itu masih belum tentu menjamin syurga.

Kata Rasulullah SAW apabila nama dipanggil untuk ditimbang di mahsyar nanti, kita dapat melihat dengan jelas pahala dan dosa yang dilakukan.

Malah, Allah SWT akan membuat pengumuman kepada sesiapa yang pernah kenal atau kita pernah melakukan kejahatan terhadap orang lain supaya tampil.

Lalu, seluruh orang yang kenal kita akan datang terutama isteri dan anak-anak yang tampil untuk menuntut hak mereka.

Sehinggaka­n orang yang tidak pernah kita kenal pun akan datang menuntut termasuk sekiranya kita pernah berhutang atau tidak menunaikan hak yang sepatutnya kepada orang itu.

Maka, golongan itu akan menjadi golongan muflis. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?”

Para sahabat menjawab: “Bagi kami orang yang muflis ialah orang yang tidak memiliki wang mahupun harta benda.”

Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi: “Sebenarnya orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah mereka yang pada hari kiamat datang dengan membawa pahala amal solat, puasa, zakat dan haji tetapi ketika di dunia mereka pernah mencaci maki orang, menuduh tanpa bukti, memakan harta dengan zalim, membunuh dan memukul sesuka hati. Lalu pada hari kiamat, orang yang dizalimi akan menerima pahala amal si penzalim. Jika pahala amalnya sudah habis (diberikan) sedangkan kesalahan dan dosanya ketika di dunia kepada orang yang tidak berdosa masih banyak, maka Allah SWT akan memberi pula dosa orang yang dizalimi itu kepadanya sehingga semakin berat bebannya, lalu Allah SWT campakkan dia ke dalam neraka.” (Riwayat Muslim)

Semua perkara yang dilakukan itu ada kaitan dosa yang kita lakukan terhadap manusia.

Jelas kepada kita, memang cukup bahaya dosa apabila ada kaitan dengan manusia. Sebab itu, hidup di dunia ini kita tidak boleh masuk campur dengan orang kecuali kita membantuny­a.

Begitu juga dengan aib orang. Jangan sesekali kita mudah membuka atau menyebarka­n aib orang lain. Tiada untungnya berbuat demikian sedangkan Allah SWT menyimpan aib kita.

Jikalau melakukan penganiaya­an atau kezaliman, selesaikan dulu ketika di dunia supaya tidak muflis di akhirat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia