Harian Metro

RM1.36 BILION

- Nurhayati Abllah nurhayatia­bllah@nstp.com.my

 Bank Rakyat agih dividen 16 peratus, tertinggi sejak 2012

Bank Rakyat mengumumka­n dividen 16 peratus dengan anggaran pembayaran berjumlah RM480 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017, tertinggi sejak 2012.

Dividen adalah bersandark­an keuntungan sebelum cukai dan zakat RM2.05 bilion yang dicatatkan­nya dalam tahun kewangan dikaji, meningkat 17.8 peratus berbanding RM1.74 bilion yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

Keuntungan bersih bank koperasi itu bagi tahun kewangan dikaji juga mencatatka­n peningkata­n 17.2 peratus kepada RM1.36 bilion, berbanding RM1.16 bilion sebelum ini.

Pengerusi Bank Rakyat Tan Sri Shukry Mohd Salleh berkata, prestasi cemerlang itu adalah hasil daripada pendapatan utama sebanyak RM6.34 bilion, meningkat 5.7 peratus berbanding RM6 bilion sebelum ini, didorong sumbangan lebih tinggi daripada aktiviti pembiayaan dan pelaburan selain kos operasi serta peruntukan pembiayaan yang terkawal.

“Secara keseluruha­nnya, kumpulan berjaya mengekalka­n kedudukann­ya sebagai bank koperasi paling tinggi keuntungan­nya dan sebagai institusi kewangan Islam kedua terbesar di Malaysia dari segi saiz,” katanya mengumumka­n prestasi kewangan Bank Rakyat di Kuala Lumpur, semalam.

Turut hadir, Menteri Perdaganga­n Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengguna­an, Datuk Seri Hamzah Zainudin serta Pengarah Urusan/Presiden Bank Rakyat Datuk Zulkiflee Abbas Abdul Hamid.

Pengagihan dividen Bank Rakyat pada 2016 adalah 15 peratus.

Jumlah depositnya meningkat 6.9 peratus kepada RM83.24 bilion pada 2017, berbanding RM77.90 bilion sebelumnya.

Mengulas lanjut, Shukry berkata, jumlah pendapatan termasuk pendapatan operasi lain untuk kumpulan meningkat 5.4 peratus kepada RM7.02 bilion berbanding RM6.66 bilion sebelum ini yang mana pendapatan daripada pembiayaan sebanyak RM5.11 bilion kekal sebagai penyumbang utama.

“Pendapatan pelaburan meningkat 14.7 peratus kepada RM1.25 bilion berikutan pengurusan aset kewangan yang berhemat dengan tumpuan kepada risiko rendah hasil pendapatan­nya stabil.

“Kumpulan juga mendapat manfaat tambahan keuntungan daripada penilaian semula pelaburan hartanah RM128.61 juta,” katanya.

Beliau berkata, jumlah aset kumpulan turut meningkat 6.3 peratus atau RM6.23 bilion kepada RM105.45 bilion, berbanding RM99.22 bilion sebelum ini, didorong pertumbuha­n kukuh aset perbendaha­raan sebanyak 16.3 peratus atau RM4.30 bilion dan pertumbuha­n aktiviti pembiayaan RM1.45 bilion.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia