Inisiatif AADK langkah berani
Persatuan Pengasih Malaysia (PENGASIH) menyifatkan inisiatif dilakukan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menerusi Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (CRPD) sebagai langkah berani.
Presidennya Datuk Mohd Yunus Pathi berkata, usaha itu tepat pada masanya dan diyakini memberikan keputusan positif.
Katanya, program seperti itu dijalankan Jabatan Penjara Malaysia dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan ada kisah kejayaan daripada program itu.
“Bagaimanapun, kita tidak boleh membandingkan secara langsung program dijalankan Jabatan Penjara dengan program CRPD AADK. Di dalam penjara program ini dibuat secara dalaman dan penagih lebih mudah dipantau.
“Walaupun masih di peringkat awal, kami di PENGASIH percaya satu usaha
perlu disokong semua pihak. Mungkin ada antara individu terbabit akan kembali menagih tetapi lebih penting usaha yang dilakukan.
“Cuma, menjadi harapan PENGASIH supaya program ini ada kesinambungannya bagi memastikan aspek pemulihan penuh dicapai, kami akan terus memberikan sokongan,” katanya.
Harian Metro semalam melaporkan 182 pelatih dipilih daripada lima lokasi kawasan panas untuk menjalani latihan rawatan dan pemulihan menerusi program CRPD.
Program dilaksanakan dalam dua fasa iaitu pada fasa pertama pelatih menjalani orientasi di kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) selama dua bulan sebelum ditempatkan di komuniti masing-masing untuk menjalani rawatan dan pemulihan 10 bulan.