200 kali serah diri dipatuk ular
Madison (Amerika Syarikat): Seorang saintis mendakwa dia kini imun atau ‘kebal’ bisa ular selepas membiarkan dirinya dipatuk ratusan kali oleh reptilia berbisa itu.
Tim Friede, 39, mendakwa dia dipatuk lebih 200 kali oleh ular berbisa yang boleh membunuh dalam tempoh beberapa minit dalam usahanya membantu kajian bagi menghasilkan vaksin bisa ular.
Friede juga mendakwa dia satu-satunya manusia di dunia yang boleh terselamat apabila dipatuk ular berulang kali.
Dia membiarkan dirinya dipatuk ular jenis Black Mamba yang dianggap paling berbisa di dunia dan boleh membunuh dalam tempoh 15 minit.
Dalam satu temubual dengan The Wizard of Odd TV di rumahnya di Lac, Wisconsin, Friede menunjukkan seekor ular Black Mamba mematuk jarinya sebanyak tiga kali dan sekali di lengannya.
Dalam tempoh beberapa saat, anggota badannya membengkak, menunjukkan bisa itu mula masuk ke saluran darahnya.
Friede memberitahu, kesakitan dialaminya akibat dipatuk ular itu seperti dipukul dengan tukul besi tetapi dia selamat kerana badannya mempunyai antibodi terhadap bisa ular hasil kajiannya selama dua dekad.
“Saya mempertaruhkan nyawa saya setiap hari untuk satu tujuan - menyelamatkan nyawa.
“Saya menyuntik dan membiarkan dipatuk ular bertujuan menghasilkan vaksin umum untuk manusia,” katanya.
Menurutnya, dalam tempoh lebih 17 tahun, dia menggunakan tujuh spesies ular berbisa untuk menjadikan tubuhnya imun terhadap bisa.
“Black Mamba ular paling berbisa di dunia dan kesan gigitan pada tangan saya ini akan kekal selama dua atau tiga hari sebelum ia hilang,” jelasnya. - Agensi