Harian Metro

‘Duit nikah...’

- Hamzah Osman cnews@nstp.com.my

 Pemuda terima pampasan PERKESO RM106,454

“Sebahagian duit RM106,454.40 yang diterima hari ini (semalam) akan saya gunakan untuk berkahwin, tapi bukan sekarang kerana masih sakit dan sedang dirawat di hospital,” kata Engku Muhammad Shamin Fitri Engku Azhar, 24.

Pemuda dari Kampung Raja, Mukim Padang Matsirat itu menerima cek diserahkan Pertubuhan Keselamata­n Sosial (PERKESO) berikutan hilang upaya kekal akibat kemalangan jalan raya.

Tragedi itu berlaku pada pagi 20 Februari tahun lalu di Kampung Bayas ketika Engku Muhammad Shamin Fitri dalam perjalanan ke tempat kerjanya di sebuah hotel enam bintang.

Sebelum kemalangan itu, dia yang juga anak tunggal kepada pasangan Engku Azhar Engku Musa, 51, dan Nor Azilina Zainal Abidin, 46, adalah pemuda aktif dan bekerja sebagai seorang juruteknik.

Mengulas lanjut nahas menimpanya sehingga doktor mengesahka­n dia kini hilang upaya kekal dan terpaksa melupakan dunia pekerjaan, Engku Muhammad Shamin Fitri berkata, dia reda dengan ujian Allah SWT.

“Pada hari kejadian, saya dari rumah untuk ke tempat kerja pada awal pagi sebelum terlanggar tiang lampu ketika cuba mengelak seorang wanita warga emas melintas jalan.

“Berikutan itu, paha kiri dan kanan saya patah, begitu juga lengan kanan, selain terlucut sendi siku kanan serta gangguan saraf jari,” katanya selepas menerima cek daripada PERKESO di Hospital Langkawi (HL), semalam.

Penyampaia­n cek disempurna­kan Ahli Dewan Undangan Negeri Kuah, Nor Saidi Nanyan.

Turut hadir, Timbalan Pengarah HL, Dr Md Razis Ramli dan Pengurus PERKESO Langkawi, Yusuf Kasim.

Engku Muhammad Shamin Fitri berkata, sepanjang setahun lalu dia beberapa kali menerima rawatan di HL termasuk menjalani lebih 10 kali pembedahan untuk memasukkan besi pada paha dan lengan.

“Sejak kemalangan sampai sekarang, saya tidak bekerja dan bergantung harap pada wang cuti sakit berbayar daripada PERKESO dengan purata RM2,000 sebulan.

“Memang bersyukur sangat dengan wang faedah hilang upaya kekal sebanyak RM106,454.40 diberikan PERKESO, malah saya tidak pernah bermimpi pun untuk dapat wang sebanyak ini,” katanya.

 ??  ?? ENGKU Muhammad Shamin Fitri ceria menerima cek disampaika­n Nor Saidi (tiga dari kiri) sambil diperhatik­an Yusuf (kiri) di Hospital Langkawi.
ENGKU Muhammad Shamin Fitri ceria menerima cek disampaika­n Nor Saidi (tiga dari kiri) sambil diperhatik­an Yusuf (kiri) di Hospital Langkawi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia