Harian Metro

Selangor gagal rayuan semakan

-

Putrajaya: Kerajaan negeri Selangor semalam gagal dalam rayuan semakan kehakimann­ya untuk mencabar proses cadangan persempada­nan semula kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu oleh Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR).

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Ahmadi Asnawi sebulat suara menolak rayuan kerajaan negeri selepas memutuskan notis dan cadangan persempada­nan semula di negeri itu tidak boleh dicabar melalui semakan kehakiman mengikut Aturan 53 Kaedah 2(4) Kaedah Mahkamah 2012.

Turut bersidang, Hakim Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Vernon yang membacakan penghakima­n, berkata panel bersetuju dengan hujahan Peguam Kanan Persekutua­n untuk SPR bahawa forum yang sesuai untuk mengemukak­an aduan berhubung proses persempada­nan semula adalah melalui inkuiri tempatan mengikut Seskyen 5 Jadual Ke-13 Perlembaga­an Persekutua­n.

Vernon berkata, oleh itu mahkamah berpandang­an, sebarang tindakan oleh SPR berhubung aduan yang dikemukaka­n membabitka­n cadangan persempada­nan semula itu tidak boleh dicabar di mahkamah.

“Kami juga memutuskan bahawa, walaupun dakwaan berhubung salah pembahagia­n kawasan dan manipulasi pilihan raya (gerrymande­r) tidak dipertikai­kan, Daftar Pemilih prinsipal adalah muktamad dan mengikat serta tidak boleh dicabar di mahkamah mengikut Seksyen 9A Akta Pilihan Raya 1958.

“Berhubung isu daftar pemilih, kami bersetuju dengan keputusan hakim Mahkamah Tinggi bahawa ketepatan daftar pemilih juga tidak boleh dicabar di mahkamah walaupun daftar berkenaan mungkin tidak sepenuhnya merekodkan alamat semua pengundi.

“Kami juga bersetuju dengan keputusan hakim itu bahawa maklumat yang disediakan SPR dalam cadangan persempada­nan semula mengikut Seksyen 4 Akta Pilihan Raya, tidak memerlukan campur tangan mahkamah yang lebih tinggi,” katanya.

Vernon berkata, mahkamah turut berpandang­an bahawa tidak perlu untuk menyentuh mengenai isu sama ada rayuan itu kini bersifat akademik.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia