Harian Metro

Penjual kebab diserang 5 lelaki

-

Kuala Lumpur: “Suami tidak mahu bergaduh, dia minta masa untuk berkemas namun tiba-tiba seorang daripada lima lelaki itu terus menumbuk mukanya,” kata Benazir Akhtar Ahmad Anuar, 34, isteri kepada penjual kebab warga Turki yang diserang lima lelaki tempatan di Jalan Rampai Niaga 5, Rampai Business Park, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, mangsa dikenali sebagai Sedat Surucu, 43, lebam di muka akibat ditumbuk dan cedera ditetak pada tangan kirinya.

Difahamkan, kejadian berpunca akibat perebutan tapak gerai di kawasan berkenaan dan mangsa diserang lima lelaki terbabit berikutan mereka mahu peniaga kebab itu berpindah dari tapak lot gerai biarpun kontrak sewaan bakal tamat dalam tempoh dua bulan lagi.

Mangsa diserang adik ipar kepada pemilik tapak gerai berkenaan yang membawa empat rakannya untuk memaksa peniaga itu berpindah lebih awal.

Benazir Akhtar berkata, ketika kejadian dia dan suami menjalanka­n perniagaan seperti biasa sebelum lima lelaki terbabit datang ke gerai meminta mereka berpindah keluar pada malam itu juga.

“Suami minta masa untuk berkemas namun seorang daripada mereka menumbuk mukanya.

“Terkejut dengan tindakan lelaki itu, suami yang memegang pisau pemotong kebab sepanjang 60 sentimeter lari ke belakang untuk menyorokka­n pisau itu.

“Namun, pisau itu dirampas seorang lelaki yang kemudian menetak bahagian atas lengan kirinya,” kata wanita tempatan itu ketika dihubungi, di sini, semalam.

Katanya, luka akibat tetakan dialami suaminya teruk berikutan mengenai bahagian tulang dan memerlukan pembedahan kecil.

“Buat masa ini, suami saya ditahan di Pusat Perubatan Prince Court, di sini, untuk menjalani pembedahan kecil bagi merawat luka tetakan yang dalam sehingga mengenai bahagian tulang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superinten­dan Mohamad Roy Suhaimi ketika dihubungi, di sini, semalam, mengesahka­n menerima laporan berhubung kejadian dan memaklumka­n pihaknya menahan seorang daripada lima lelaki terbabit yang menyerang peniaga kebab warga Turki berkenaan.

Katanya, pihaknya kini giat mengesan empat lagi suspek kejadian itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia