Harian Metro

2 das peluru tembus badan

- Safeek Affendy Razali news@nstp.com.my

 Pengusaha produk kesihatan parah ditembak penunggang motosikal di depan kilang

Seorang pengusaha produk kesihatan parah selepas ditembak penunggang motosikal di depan kilangnya di Taming Jaya, di sini, Selasa lalu.

Dalam kejadian jam 7.50 malam itu, mangsa lelaki berusia 30 tahun dikatakan baru keluar dari premis di Jalan Taming Jaya 8, Pusat Industri Taming Jaya, lalu masuk ke dalam kereta Mercedez Benz berwarna hitam miliknya.

Pada masa sama, suspek bersenjata­kan pistol menaiki motosikal muncul secara tiba-tiba lalu melepaskan tiga das tembakan ke arah kereta mangsa sebelum melarikan diri.

Difahamkan, mangsa cedera di perut dan badan akibat terkena dua daripada tiga das tembakan dilepaskan suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, mangsa keluar dari keretanya dalam keadaan berlumuran darah sebelum dikejarkan oleh dua pekerjanya ke sebuah hospital swasta di Cheras.

“Siasatan mendapati, suspek yang memakai jaket gelap dan topi keledar berpenutup penuh bersedia menunggu mangsa keluar dari pejabatnya sebelum merancang menembak mangsa.

“Selepas memastikan mangsa masuk ke dalam kereta, suspek datang dan memberhent­ikan motosikal dalam keadaan enjin masih hidup lalu menuju ke kereta mangsa dan melepaskan tembakan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, polis menjalanka­n siasatan lanjut dengan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampira­n untuk mengenal pasti suspek terbabit.

“Polis akan mendapatka­n rakaman percakapan mangsa sebaik dia pulih bagi membolehka­n kami mengenal pasti motif sebenar kejadian sama ada mempunyai unsur dendam atau unsur lain yang mungkin mempunyai kaitan dengan perniagaan­nya,” katanya.

Katanya, hasil siasatan forensik menemui tiga kelongsong peluru jenis 9 mm di atas jalan berhampira­n kereta mangsa.

Fadzil berkata, orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk membantu siasatan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan bunuh,” katanya.

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia