Harian Metro

Ikan liking buka selerA

- Mohamed Semail rencana@hmetro.com.my

Tiami hasilkan 300kg dalam tempoh sebulan

Ikan liking cukup popular dalam kalangan masyarakat di Kota Belud, Sabah yang menjadi pilihan kerana keenakanny­a pasti membuka selera.

Namanya dan rupanya unik. Ikan liking sebenarnya ikan bersambal apabila ikan kering disapukan sambal sebelum dijual kepada pelanggan.

Malah, hidupan air itu banyak diusahakan penduduk di Pantai Emas dan turut menjadi identiti utama bagi produk perikanan di kawasan itu.

Tiami Jaran, 63, pengusaha liking di Pantai Emas berkata, tidak semua jenis ikan boleh dibuat ikan liking.

Kualiti paling baik adalah ikan bertulang belakang seperti talang, kembung, gelama dan timah (layur).

“Ini kerana spesies berkenaan berisi pejal dan tidak mudah busuk. Di sini, terdapat 11 pengusaha ikan liking terdiri daripada nelayan suku kaum Bajau.

“Pemilihan ikan segar penting bagi menjamin kualiti produk dan bekalan itu mudah diperoleh daripada nelayan tempatan.

“Namun penawaran bekalan juga bergantung kepada keadaan dan sekiranya di luar musim ia terpaksa dibeli dari luar termasuk Kota Kinabalu,” katanya.

Dia yang menjadi pengusaha ikan liking sejak 20 tahun lalu berkata, ikan segar itu terus disiang dan paling baik ia dibelah belakang supaya mudah kering ketika dijemur.

“Semua kotoran seperti darah beku dan lendir pada tulang belakang di bahagian perut dan kepala hendaklah dicuci bersih, kemudian ditoskan airnya.

“Selepas ikan berkenaan kering, ia perlu disapu garam dan diperap semalaman. Malah perlu dimasukkan dalam bekas tertutup yang kedap udara bagi mengelak daripada dihurungi lalat sekali gus yang boleh merosakkan ikan.

“Taburan garam itu perlu dilakukan sekata dan menyeluruh ke semua bahagian, jika tidak dagingnya mudah reput, busuk dan berulat. Sebelum proses pengeringa­n dilakukan, ikan berkenaan hendaklah diperiksa kualiti kemasinann­ya,” katanya.

Menurutnya, ikan itu juga harus dipastikan tidak berulat atau berbau busuk kemudian dibasuh bersih dengan membuang segala sisa ketulan garam daging ikan itu sebelum dijemur di bawah cahaya matahari terik.

Sementara suaminya, Nordin Dinar, 66, berkata, proses pengeringa­n biasanya mengambil masa selama enam hingga ke lapan jam dan paling baik ia dijemur pada hari panas supaya ikan kering sekata.

“Ikan mentah digunakan untuk dijadikan ikan liking juga tidak boleh direndam dalam ais kerana isi ikan hilang kesegaran dan sifat pejalnya. Ia akan membuatkan isi ikan menjadi peroi dan mudah hancur apabila dimasak.

“Ikan yang cukup kering akan disimpan dalam bekas bersih dan kedap udara sebelum dipasarkan, supaya lalat tidak dapat bertelur pada ikan.

“Peringkat terakhir ialah penyediaan sambal yang digunakan sebagai pengawet. Kaedah penyediaan cukup mudah iaitu cili hidup dipotong halus dicampurka­n dengan garam secukup rasa dan dikisarkan. Boleh juga campurkan sedikit cuka atau perahan air limau nipis untuk membangkit aroma dan rasanya.

“Ikan yang hendak dijual terbahagi kepada dua kategori sama ada ikan liking yang siap ataupun ikan kering belum disapukan sambal. Ia bergantung kepada permintaan pelanggan.

“Lazimya, ikan liking mendapat permintaan tinggi daripada penduduk tempatan. Ini berikutan rasa masam, pedas dan masin perisa ikan itu mampu membuka selera makan,” katanya.

Menurutnya, permintaan ikan liking sentiasa mendapat sambutan dan 300 kilogram (kg) ikan liking dihasilkan dalam tempoh sebulan.

“Bagaimanap­un, ia bergantung kepada musim tertentu iaitu ketika nelayan mampu menangkap banyak ikan dan pengeluara­nnya mampu mencecah hingga 400 kg sebulan.

“Namun, pengeluara­nnya terhad menjelang musim tengkujuh kerana bekalan ikan sangat terhad,” katanya.

 ??  ?? PENIAGA menjual ikan liking di Pasar Tamu.
PENIAGA menjual ikan liking di Pasar Tamu.
 ??  ?? TIAMI memproses ikan liking.
TIAMI memproses ikan liking.
 ??  ?? NORDIN menunjukka­n ikan timah yang dijadikan ikan liking.
NORDIN menunjukka­n ikan timah yang dijadikan ikan liking.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia