Harian Metro

‘HAKIKAT KELUARGA KAMI’

- Mahaizura Abd Malik mahaizura@hmetro.com.my

 Wanita bawa empat anak naik motosikal tiada pilihan lain

“Memang saya sedar bahaya membawa anak naik motosikal tanpa memakai topi keledar, tetapi saya tiada pilihan lain kerana bimbang tinggalkan anak kecil di rumah tanpa pengawasan orang dewasa memandangk­an suami dan anak sulung keluar bekerja,” kata Suriani Aziera Shahril, 32, semalam.

Tindakan Suriani Aziera menunggang motosikal dengan membawa empat anak kecil bersama tanpa memakai topi keledar mendapat pelbagai reaksi netizen selepas ditularkan seorang wanita yang bertemu dengan lima beranak itu di jalan raya, Jumaat lalu.

Menurutnya, pada hari kejadian selepas solat Zuhur, dia bersama empat anak berusia empat hingga sembilan tahun keluar dari rumah mereka di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Wahyu ke Masjid Saidina Umar al-Khattab, Bukit Damansara di sini, untuk mendapatka­n bantuan keperluan makanan.

“Bekalan makanan kami sudah terputus, hendak tunggu gaji suami pada 5 April ini masih lama. Jadi, saya cuba ikhtiar mendapatka­n bantuan di masjid berkenaan selepas disyorkan seorang kenalan kerana kasihan dengan anak yang hanya makan nasi kosong dan mi segera untuk mengalas perut.

“Saya terpaksa membawa empat anak bersama ke masjid itu kerana bimbang sesuatu yang buruk berlaku kepada anak kecil memandangk­an rumah kami di tingkat 14 dan kebetulan ada tingkap terbuka yang belum mampu kami gantikan dengan cermin baru,” katanya.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan pulang ke rumah mereka selepas mendapatka­n makanan di masjid itu, dia ditahan seorang wanita dikenali sebagai Fatimah yang simpati melihat situasi lima beranak terbabit.

“Bukan saya sengaja meminta simpati dengan cara ini (tular) tetapi itu semua hanya kebetulan. Saya tidak akan melupakan jasa wanita itu kerana dia, saya dihubungi ramai pihak yang bertanyaka­n keadaan sebenar serta ada yang mahu membantu.

“Ada juga mengecam saya kerana tidak mempedulik­an keselamata­n anak, namun saya diamkan saja kerana mereka tidak tahu kedudukan sebenar.

“Jika tidak terdesak, saya tidak akan pergi meminta bantuan kerana ini kali pertama dalam hidup saya lakukan perkara seumpama. Tetapi demi keselesaan anak, saya tebalkan muka dan tanggung risiko ini,” katanya.

Menurutnya, suaminya bekerja sebagai kelindan lori hanya mampu meraih pendapatan RM800 sebulan manakala anak sulungnya hanya bekerja sambilan di sebuah kedai serbaneka sementara menunggu untuk menyambung pengajian pada pertengaha­n bulan ini.

“Selepas menolak semua komitmen termasuk sewa rumah RM124 sebulan, lebihan gaji itu digunakan untuk menampung perbelanja­an kami lapan beranak,” katanya.

Orang ramai mahu meringanka­n beban lapan beranak terbabit boleh menghulurk­an sumbangan menerusi akaun Suriani Aziera di Bank Rakyat, 2200715042­00.

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ?? TINDAKAN Suriani menunggang motosikal dengan membawa empat anak kecil bersama tanpa memakai topi keledar mendapat pelbagai reaksi netizen.
TINDAKAN Suriani menunggang motosikal dengan membawa empat anak kecil bersama tanpa memakai topi keledar mendapat pelbagai reaksi netizen.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia