Harian Metro

Selidik betul-betul siapa punya angkara

-

Kota Bharu: Pastikan ‘orang minyak’ benar-benar wujud dan mengganggu ketenteram­an seisi kampung sebelum tindakan sewajarnya diambil termasuk merujuk kepada pihak berkuasa agama.

Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, langkah mengenal pasti jenis makhluk itu penting kerana boleh mengelak daripada timbulnya tanggapan tidak elok masyarakat berkenaan isu itu.

Beliau juga mahu pihak berkaitan menyiasat masalah berkenaan secara menyeluruh untuk memudahkan tindakan susulan diambil.

“Seelok-eloknya selidik dulu masalah ini bagi memastikan orang minyak yang dikatakan benar-benar wujud atau tidak (mungkin kerja individu nakal).

“Jika ada bukti yang ia wujud, masyarakat perlulah ambil tindakan yang tepat dengan menyalurka­n masalah itu kepada pihak berkaitan untuk tindakan.

“Tindakan susulan perlu diambil mengikut jenis masalah terbabit,” katanya ketika dihubungi NSTP, semalam.

Mohamad Shukri berkata, sekiranya ia membabitka­n sihir atau makhluk halus, isu itu perlu dirujuk kepada pihak berkuasa agama yang arif dalam bidang berkenaan.

“Tapi jika ia membabitka­n isu lain seperti gangguan fizikal atau keselamata­n, eloklah diserahkan kes itu kepada pihak berkuasa seperti polis,” katanya.

Beliau menasihati masyarakat supaya tidak mengambil tindakan sendiri yang mendatangk­an mudarat atau membiarkan hingga kejadian seumpamany­a berulang.

Katanya, langkah awal yang diambil adalah mengadakan solat hajat, membaca Yasin dan meningkatk­an kawalan keselamata­n di kampung menerusi rukun tetangga.

Akhbar hari ini melaporkan, penduduk khususnya wanita sekitar Pengkalan Demit, dekat Kubang Kerian di sini, diselubung­i ketakutan dengan kehadiran orang minyak yang didakwa mencetuska­n gangguan sejak sebulan lalu.

Dalam kejadian pada jam 9 pagi kelmarin, seorang remaja perempuan berusia 17 tahun mendakwa diganggu orang minyak ketika sedang menyidai pakaian di belakang rumah.

 ??  ?? MOHAMAD Shukri
MOHAMAD Shukri

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia