Harian Metro

Tiga beradik yatim piatu sekelip mata

-

Port Dickson: “Sekelip mata kami tiga beradik yatim piatu dan saya ingat pesan arwah emak supaya jaga diri sebelum dia bertolak ke Perak menghadiri perkahwina­n sepupu,” kata Farhah Darwish, 17, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Raya, Pasir Panjang, Port Dickson di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari Sabtu lalu, ibu Farhah, Zahera Ahmad, 55, meninggal dunia di tempat kejadian selepas kereta dipandu abang, Mohd Faiz Hakim, 18, terbabas di Kilometer 413.1, Lebuhraya Utara-Selatan arah Kuala Lumpur dekat Lembah Beringin, Kuala Kubu Baru, Selangor.

Ayahnya, Darwis Sanja, 45, yang parah di kepala meninggal dunia lewat malam kelmarin ketika dalam perjalanan balik ke Port Dickson. Mohd Faiz Hakim dan seorang adiknya, Nurul Fadilah Aisyah, 13, hanya cedera ringan.

Menurut Farhah, dia mengetahui kemalangan menimpa keluargany­a jam 3 petang ketika mengikuti kursus Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yam Tuan Radin, Lukut.

“Saya tidak dapat ikut bersama sebab kursus. Saya reda dengan ketentuan Allah namun berharap dapat terus tinggal di sini,” kata pelajar SMK Pasir Panjang itu.

Menurutnya, bapa saudara ada memaklumka­n mahu menjaga mereka tetapi perlu berpindah ke Datuk Keramat, Kuala Lumpur.

“Apa pun kami akan berbincang sebaik selesai urusan pengebumia­n ayah di Tanah Perkuburan Kampung Sungai Raya.

“Arwah ibu dikebumika­n di tanah perkuburan sama, awal pagi semalam (kelmarin). Kehilangan ibu dan bapa pasti mengubah kehidupan kami,” katanya.

Sementara itu, Pengetua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kem Terendak, Melaka, Roslam Yusoff berkata, dia terkejut selepas mendapat tahu bekas pelajarnya, Mohd Faiz Hakim terbabit kemalangan yang mengorbank­an ibu bapanya.

“Saya hadir menyampaik­an ucapan takziah warga MRSM Kem Terendak dan sumbangan daripada pihak sekolah kerana Mohd Faiz bekas pelajar kami.

“Mohd Faiz perlu kuat bagi menjaga adiknya yang bersekolah dan saya percaya dia mampu teruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi kerana dia mendapat keputusan baik dalam peperiksaa­n Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini,” katanya.

 ??  ?? FARHAH (kanan) ditenteram­kan gurunya apabila kedua ibu bapanya meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan Sabtu lalu.
FARHAH (kanan) ditenteram­kan gurunya apabila kedua ibu bapanya meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan Sabtu lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia