Harian Metro

Nafi terima suapan RM17,000

-

Seorang pegawai kanan di Perbadanan Putrajaya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan meminta dan memperoleh rasuah berjumlah RM17,000 daripada tiga syarikat berhubung sebut harga ditawarkan perbadanan itu tiga tahun lalu.

Ketua Penolong Pengarah di Bahagian Pentadbira­n Jabatan Perkhidmat­an Korporat, Mohamad Rohaizat Kasman, 46, bagaimanap­un mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Allaudeen Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohamad Rohaizat didakwa secara rasuah meminta suapan wang tunai RM17,000 daripada Noor Alfidah Mohamed Zakri sebagai upah mendapatka­n dan meluluskan sebut harga ditawarkan perbadanan itu untuk syarikat Teras Reka, Shogi Bena Sdn Bhd dan Fidah Supply & Services pada jam 4 petang, 16 Disember 2015.

Sementara itu bagi pertuduhan kedua hingga keempat, tertuduh didakwa memperoleh suapan wang tunai RM4,000 daripada Noor Alfidah, wang tunai RM1,000 dan sekeping cek berjumlah RM12,000 daripada Ahmad Fairuz Abdul Rahim sebagai dorongan melakukan perbuatan sama antara 17 Disember 2015 dan 16 Mei 2016.

Tertuduh didakwa melakukan semua perbuatan itu di Restoran Nasi Kandar Darulsalam di Jalan 4W, Galeria PJH, Presint 3, Putrajaya.

Bagi semua pertuduhan itu, Mohamad Rohaizat didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia