Harian Metro

Isner tamat badi Nadal rampas takhta ATP

- AFP

 Pemain pilihan ke-14 bangkit tewaskan Zverev dalam tempoh dua jam 29 minit

John Isner akhirnya menamatkan sengsara final ATP Masters kelmarin dengan memenangi Terbuka Miami buat pertama kali selepas menewaskan pemain Jerman Alexander Zverev 6-7 (4/7), 6-4, 6-4.

Pemain pilihan ke-14 itu tewas tiga aksi final major pada tahun 2012, 2013 dan 2016, tetapi bangkit daripada ketinggala­n satu set untuk menewaskan Zverev dalam tempoh dua jam 29 minit.

Kemenangan itu melengkapk­an kejohanan menakjubka­n buat Isner, yang mengharung­i permulaan sukar tahun ini termasuk tersingkir di pusingan pertama di Indian Wells sebelum hadir di Miami.

“Saya tidak menjangka perkara sebegini. Saya datang ke kejohanan, saya menang satu perlawanan ATP (Jelajah Dunia) sepanjang tahun dan bermain dengan teruk sekali,” kata Isner.

“Saya menang perlawanan pertama dalam tiga set dan itu yang berlaku dalam tenis - anda mula mendapat keyakinan dan keadaan mula berpihak kepada anda.”

Isner adalah pemain Amerika Syarikat pertama sejak Andy Roddick pada tahun 2010 menjulang kejuaraan di Miami.

Isner juga bakal melonjak ke ranking tertinggi dalam kariernya - di tangga kesembilan selepas kemenangan itu - untuk kejuaraan ke-13 dirinya.

“Kini terpulang kepada saya untuk terus maju. Untuk melepasi halangan dalam kejohanan sebegini adalah sesuatu yang besar daripada segi mental buat saya.

“Kami melepasi halangan itu minggu ini. Saya tampil dalam setiap perlawanan dengan tenang dan segar. Saya mampu menjadi cabaran jika terus bermain dengan tenang,” katanya. Paris: Rafael Nadal kembali merampas kedudukan teratas ranking lelaki ATP semalam, sehari selepas pencabar dari Switzerlan­d, Roger Federer tersingkir di Miami kepada pemain Amerika Syarikat, John Isner.

Nadal, yang masih belum memukul bola sejak menarik diri dari suku akhir Terbuka Australia pada Januari, menyaksika­n Federer mengambil alih kedudukan utama pada 18 Februari.

Pemain veteran Switzerlan­d itu bagaimanap­un kurang 10 mata di belakang pencabar dari Sepanyol itu di kedudukan kedua selepas kalah pada pusingan kedua kepada Isner yang menyaksika­n pemain tinggi lampai itu naik lapan tempat ke kedudukan kesembilan hasil kejayaan dalam acara Masters 1000 itu.

Isner menyamai kedudukan terbaiknya sebelum ini, dilakukan pada April 2012 manakala lawan ditewaskan­nya pada final, Alexander Zverev dari Jerman naik ke kedudukan keempat.

Pemain Korea selatan, Hyeon Chung terus meningkat dalam ranking apabila pemain berusia 21 tahun itu memecah masuk ke kelompok 20 terbaik, berkeduduk­an ke-19 buat pertama kali selepas mara ke suku akhir di Miami.

 ?? John Isner ?? Saya menang perlawanan pertama dalam tiga set dan itu yang berlaku dalam tenis - anda mula mendapat keyakinan dan keadaan mula berpihak kepada anda”
John Isner Saya menang perlawanan pertama dalam tiga set dan itu yang berlaku dalam tenis - anda mula mendapat keyakinan dan keadaan mula berpihak kepada anda”
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia