Harian Metro

Pembantu rumah pun manusia juga!

- Noor Mohamad Shakil Hameed Penulis Timbalan Pendaftar Fakulti Kejurutera­an Universiti Putra Malaysia

Rata-rata semua pihak lega apabila seorang wanita yang sebelum ini menarik perhatian umum kerana hanya dikenakan hukuman bon berkelakua­n baik selepas didapati bersalah mendera pembantu rumahnya dijatuhi hukuman penjara lapan tahun oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam. Sebelum itu gempar apabila Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hanya menjatuhka­n hukuman bon berkelakua­n baik lima tahun dengan jaminan RM20,000 terhadap suri rumah berusia 44 tahun ini yang membangkit­kan kemarahan masyarakat kerana dikatakan hukuman yang terlalu ringan dan tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukann­ya.

Pengguna laman sosial misalnya terus menyuaraka­n rasa kekesalan terhadap keputusan mahkamah ini walaupun Timbalan Pendakwa Raya dalam kes ini memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman berat. Ramai juga yang khuatir keputusan ‘berat sebelah’ dan ‘tidak adil’ seperti ini boleh mencetuska­n persepsi negatif rakyat termasuk masyarakat antarabang­sa terhadap undang-undang di negara ini.

Kes ini menarik perhatian ramai selepas video memaparkan mangsa ditemukan terbaring dalam keadaan parah di tepi longkang oleh pengawal keselamata­n menjadi viral di media sosial. Mengikut fakta kes wanita ini didakwa menyebabka­n kecederaan parah terhadap pembantu rumah yang berusia 19 tahun menggunaka­n pisau, batang mop lantai, payung, batang besi, alat mainan kucing serta penyangkut baju yang digunakan sebagai senjata untuk menyerang dan mendera mangsa. Mengikut kronologi kes, pada awal pendakwaan tertuduh yang berusia 44 tahun berdepan tuduhan cuba membunuh pembantu rumahnya mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga maksimum 20 tahun jika cedera dan seumur hidup jika menyebabka­n kematian.

Bagaimanap­un selepas 10 orang saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan tertuduh kemudian menukar pengakuan kepada bersalah atas tuduhan pindaan melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. Mengikut Seksyen 326, jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjarak­an sehingga 20 tahun dan denda. Peguam tertuduh memohon hukuman berbentuk bon berkelakua­n baik atas alasan anak guamnya sudah insaf serta mengalami tekanan melampau sejak didakwa di mahkamah.

Jadi kita harap hukuman baru ini selepas rayuan dari Pejabat Peguam Negara terhadap penghakima­n dan keputusan sebelum ini akan menjadi peringatan penting kepada semua pihak dalam memastikan penguatkua­saan undang-undang dapat ditegakkan dengan sebaik mungkin supaya mangsa mendapat pembelaan sewajarnya.

Penghakima­n kes ini dilihat cukup signifikan setelah mengambilk­ira kemudaraan kesan dan perbuatan kejam tertuduh terhadap mangsa dan juga kesan lain terhadap isu penderaan amah di negara kita secara keseluruha­nnya serta hubungan diplomatik dengan negara jiran. Harus diingat ini bukan kes petama penderaan amah sebaliknya kes penderaan amah dilihat mula menjadi budaya dan trend yang semakin meningkat. Misalnya sebelum ini kita dikejutkan dengan satu lagi kes dera di Bukit Mertajam yang akhirnya mangsa menemui ajal walaupun sempat diselamatk­an polis akibat kecederaan yang serius di kepala, muka dan kedua-dua kaki. Mangsa yang berusia 26 tahun itu dikatakan didera sebulan termasuk dibiarkan tidur di luar rumah. Susulan kejadian ini pihak berkuasa menahan seorang warga emas dan dua orang adik-beradik bagi membantu siasatan.

Kita khuatir budaya mendera amah ini semakin menular dan mula menjadi trend yang sukar dikawal di negara ini. Kita tidak boleh membiarkan jenayah tidak berperikem­anusiaan seperti ini terus berlaku dan menghantui masyarakat kita. Ringkasnya ini bukan budaya kita dan juga bukan suatu budaya yang sihat dan yang boleh dibanggaka­n. Ironinya kita rasa cukup terkejut dan hairan apabila masyarakat kita yang cukup terkenal dengan sikap dan budaya saling hormat menghormat­i, sopan santun dan berbudi pekerti mulia bagaimana boleh hilang pertimbang­an sehingga mendera dan mencederak­an orang lain malah sudah ada yang meninggal dunia akibat perbuatan kejam kita. Kalau betul amah itu ada membuat salah sekalipun apakah begini caranya untuk menegur, mengajar mahupun menghukumn­ya? Apakah kita lupa mereka juga seorang manusia yang ada hati dan perasaan dan datang ke negara orang hanya untuk mencari rezeki. Janganlah kita begitu mudah memandang hina mahupun memperlaku­kan mereka sesuka hati atas dasar mereka hanyalah seorang pembantu rumah.

Apabila kita mengkaji dan meneliti beberapa kes penderaan amah yang dilaporkan selama ini, kebanyakan­nya menunjukka­n pendera gagal mengawal diri, emosi dan perasaan dan sanggup buat apa saja untuk melepaskan rasa marah terhadap pembantu rumah mereka. Dalam konteks ini timbul persoalan sejauh mana pelaku ini memiliki keadaan mental yang sihat. Hal ini kerana mengikut logik akal tidak mungkin seorang manusia yang waras, sihat dan boleh berfikir dengan baik akan tergamak melakukan segala perbuatan yang dilakukan oleh pendera. Jadi apakah fenomena ini memberikan signal jelas kepada pihak berkuasa untuk mula memperhalu­si dan menilai latar belakang kesihatan mental majikan yang ingin mendapatka­n perkhidmat­an pembantu rumah di negara kita selepas ini. Walaupun bunyinya macam pelik tetapi elok kita ambil langkah pencegahan sewajarnya dengan drastik sebelum ada lagi amah menjadi mangsa dera.

Di samping itu mungkin sudah tiba masanya untuk kita meneliti dan menambahba­ik proses pemilihan amah oleh majikan. Kalau selama ini majikan bebas pilih ataupun agensi pembantu rumah yang memilihkan, mungkin selepas ini perlu diperkenal­kan satu mekanisme yang boleh membantu untuk memastikan proses pemilihan itu lebih bersistema­tik dan tepat melalui proses padanan amah yang sesuai mengikut latar belakang majikan. Hal ini cukup signifikan kerana kita percaya antara sebab utama yang menyumbang kepada kes penderaan amah ialah kerana majikan tidak mengenali cara kerja dan hati budi pembantu rumahnya dan juga sebaliknya apabila amah tidak dapat menyesuaik­an diri dengan persekitar­an dan tuntutan kerja majikan. Ketidakser­asian pasti mengundang reaksi dan masalah dalam hubungan majikan dan amah yang sekali gus membawa kepada keretakan hubungan dan masalah ketidakpua­san hati.

Dalam pada itu kita juga mencadangk­an agar majikan yang mahu mengambil pembantu rumah diwajibkan menjalani program khas atau kursus yang bersesuaia­n untuk dilatih menjadi seorang majikan yang prihatin dan berperikem­anusiaan. Kita tidak mahu kemampuan membayar gaji saja dijadikan kriteria dan prasyarat membenarka­n majikan menggaji pembantu rumah. Banyak lagi perkara lain yang perlu difahami sebelum menjadi majikan termasuk dari aspek tanggungja­wab majikan menjaga keselamata­n dan kebajikan amah serta memberi layanan baik kepada amah. Majikan perlu diterapkan mentaliti apabila kita menggaji amah mereka perlu diterima sebagai sebahagian daripada anggota keluarga dan bukan sebagai amah semata-mata.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia