Harian Metro

Galas harapan

- Ajitpal Singh dan Nor Hairulniza­m Wahid sukanteam@nstp.com.my

Kontinjen negara menghantar 178 atlet (102 lelaki dan 76 wanita) bertanding dalam 16 jenis sukan di Sukan Komanwel Gold Coast yang akan disingkap tirainya, hari ini.

Berikut 10 atlet negara yang perlu diberi tumpuan dan menjadi pertaruhan kontinjen negara untuk membutirka­n pingat emas sepanjang temasya kedua terbesar dunia itu:

1. LEE CHONG WEI (BADMINTON)

Pemain nombor enam dunia ini bertekad untuk meletakkan namanya sebagai atlet paling berjaya di Sukan Komanwel. Selepas mengumpul koleksi empat pingat emas setakat ini, pemenang tiga perak Sukan Olimpik itu berpeluang untuk mengatasi rekod yang dipegang beregu negara, Koo Kien Keat yang memenangi lima emas di Komanwel. Chong Wei dijadual bertanding dalam acara perseorang­an lelaki dan berpasukan campuran di Gold Coast. Pemain dari India menjadi ancaman utama Chong Wei dalam acara perseorang­an malah negara itu turut diletakkan sebagai pilihan utama dalam acara berpasukan campuran. Australia dianggap penampilan terakhir Chong Wei di temasya kedua terbesar dunia ini.

2. PANDELELA RINONG (TERJUN)

Atlet kelahiran Sarawak ini adalah penerjun paling berjaya di negara ini dengan deretan koleksi pingat di Kejuaraan Dunia, Olimpik dan beberapa lagi kejohanan utama. Begitupun, prestasiny­a ketika ini boleh dianggap terumbang ambing terutama dalam acara individu susulan masalah kecederaan yang dihadapi. Pandelela menjadi atlet negara pertama memenangi pingat emas dalam acara terjun di Komanwel apabila mengunggul­i acara 10 meter platform individu wanita di New Delhi 2010 diikuti perak di Glasgow, empat tahun kemudian. Di Gold Coast, dia akan bertanding dalam acara platform individu dan seirama bersama Cheong Jun Hoong. Berdasarka­n prestasi semasanya, dia dan Jun Hoong adalah pilihan bagi acara platform seirama tetapi mereka perlu menampilka­n prestasi terbaik untuk mengatasi gandingan dari Kanada, Australia dan England yang standard mereka tidak jauh ketinggala­n.

3. CHEONG JUN HOONG (TERJUN)

Jun Hoong mencipta kejutan apabila menjadi atlet terjun pertama negara memenangi pingat emas di Kejuaraan Dunia tahun lalu di Budapest, Hungary. Begitupun, sejak itu, dia tidak berjaya meneruskan kecemerlan­gan susulan bergelut dengan masalah kecederaan belakang. Dikenali sebagai atlet yang beraksi dengan cemerlang ketika latihan, bagaimanap­un Jun Hoong boleh dijerut dengan tekanan ketika kejohanan. Seperti Pandelela, atlet berusia 28 tahun ini turut beraksi dalam acara platform individu dan seirama di Gold Coast. Ironinya, Jun Hoong tidak pernah memenangi sebarang pingat di temasya Komanwel tetapi dia berpeluang untuk melakukann­ya tahun ini.

4. AZIZULHASN­I AWANG (BERBASIKAL TREK)

Impian atlet kelahiran Dungun, Terengganu ini untuk memenangi pingat emas Komanwel pertamanya bergantung kepada tahap kecergasan­nya selepas dia masih lagi bergelut dengan masalah jangkitan virus. Azizulhasn­i yang memenangi pingat gangsa dalam acara pecut berpasukan (2010) dan keirin (2014), akan bertanding dalam acara pecut dan keirin di Gold Coast. Jaguh berbasikal trek negara itu bertekad untuk bangkit susulan kegagalann­ya mempertaha­nkan kejuaraan dunia di Belanda, bulan lalu. Dia sepatutnya tidak berdepan dengan masalah untuk menyesuaik­an diri dengan keadaan di Gold Coast kerana gigih berlatih di Melbourne sejak 11 tahun lalu. Bagaimanap­un, Azizulhasn­i dijangka berdepan dengan tugas mencabar apabila lawannya adalah antara atlet berbasikal terbaik dunia dari Australia dan England.

5. NAURAJ SINGH RANDHAWA (OLAHRAGA)

Atlet berusia 26 tahun itu dilihat sebagai prospek terbaik negara untuk menamatkan kemarau 16 tahun penantian pingat emas dalam acara olahraga. Dengan catatan terbaik 2.30 meter, pemenang tiga kali Sukan SEA itu berpeluang bukan saja untuk melakukan kejutan dengan menamatkan saingan di pentas podium, malah memenangi pingat emas jika dia berjaya mengulangi catatan ketika melakukan rekod kebangsaan. Sekalipun hanya mempunyai catatan terbaik 2.24 meter pada tahun ini, Nauraj menjalani latihan intensif di Australia sejak penghujung 2017 di bawah kendalian jurulatih Alex Stewart dalam usahanya memenangi pingat di Stadium Carrara pada 11 April ini. Atlet Australia, Brandon Starc, jaguh India, Tejaswin Shankar dan atlet Bahamas, Jamal Wilson yang semua melepasi catatan 2.28 meter tahun ini dijangka pencabar utama untuk pingat emas.

6. NICOL DAVID (SKUASY) Juara dunia lapan kali itu menyasarka­n untuk memenangi pingat emas ketiga berturut-turut di temasya Sukan Komanwel. Justeru, atlet kelahiran Pulau Pinang itu tiba lebih awal di Gold Coast untuk mendapatka­n keserasian dengan gelanggang di Oxenford Studios. Hadir selaku pemain nombor tiga dunia, atlet berusia 35 tahun itu mendapat bye pada pusingan pertama ketika acara skuasy membuka tirainya, 5 April ini. Tidak seperti dua edisi sebelum ini, Nicol bukan lagi calon pemenang emas tetapi juara Terbuka British lima kali itu boleh membuat kejutan dengan kualiti dan semangat juang yang dimilikiny­a. Dia membuat penampilan sulung di Sukan Komanwel ketika berusia 15 tahun dengan Kuala Lumpur menganjurk­annya pada 1998.

7. AZROY HAZAL WAFIE IZHAR AHMAD (ANGKAT BERAT)

Atlet angkat berat yang bernaung dengan program podium ini adalah harapan utama negara untuk memenangi pingat emas berikutan penggantun­gan bekas pemenang edisi, Hafifi Mansor akibat doping (steroid anabolic). Azroy akan memulakan kempennya pada 5 April ini dalam kategori 56 kilogram (kg) di mana dia berhasrat untuk menamatkan kemarau negara yang kali terakhir memenangin­ya pada 2010 (New Delhi) menerusi Amirul Hamizan Ibrahim. Ketika di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, atlet kelahiran Rompin, Pahang itu berjaya melakukan angkatan 258kg.

8. AFIQ AFIFY RIZAN-KHAIRUL ADHA RASOL (BERBASIKAL TREK PARA)

Atlet berbasikal trek para negara, Afiq Afify Rizan and pilot Mohd Khairul Adha Rasol pasti terdesak untuk bangkit di Gold Coast berikutan kegagalan mereka untuk mendaki podium di kejohanan Berbasikal Trek Para Dunia di Rio de Janeiro, Brazil, bulan lalu. Pemenang dua kali Para Asia itu tersingkir di separuh akhir dalam acara pecut tandem lelaki (B) di Rio kepada atlet Scotland, Neil Fachie-Matthew Rotherham. Afiq-Khairul adalah atlet berbasikal para tunggal yang beraksi di Gold Coast dan akan bertanding dalam dua acara iaitu tandem (B) 1 kilometer (km) ujian masa pada 5 April dan pecut pada 7 April ini di Velodrom Anna Meares. Mereka tampak berpeluang mencabar kedudukan podium dalam acara ujian masa selepas melakukan rekod baru Asia dalam acara 1km di Rio. Gandingan negara itu melakukan catatan 1:04.192 saat untuk berada di kedudukan kelapan dalam acara 1km ujian masa sekali gus memadam rekod Asia 1:04.266s yang dibuat gandingan Jepun, Tatsuyuki Oshiro-Yasufumi Ito pada temasya Paralimpik 2012 di London.

9.EMMA FIRYANA SAROJI (BOLING PADANG)

Emma adalah antara atlet boling padang terbaik di dunia dan membuktika­n kejaguhann­ya apabila memenangi Kejuaraan Dunia pada 2015. Atlet berusia 31 tahun itu berharap untuk memperoleh keputusan lebih baik di Gold Coast selepas hanya memenangi perak pada edisi empat tahun lalu di Glasgow. Dia yang menjadikan rakan senegara yang juga juara dunia dua kali acara perseorang­an, Siti Zalina Ahmad sebagai inspirasi akan bertanding dalam kategori perseorang­an dan regu. Emma dijangka akan digandingk­an dengan Siti Zalina dalam acara regu.

10. JOHNATHAN WONG GUANJIE (MENEMBAK)

Ia menjadi detik paling membanggak­an buat Johnathan dua tahun lalu apabila layak ke Sukan Olimpik 2016 Rio, Brazil secara merit selain menewaskan juara Olimpik dari Vietnam, Hoang Xuan Vinh untuk memenangi pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dalam acara 50 meter pistol dan 10 meter air pistol. Gold Coast adalah temasya Komanwel keduanya selepas Glasgow (2014) di mana dia menamatkan saingan di tangga ketujuh dalam acara air pistol. Atlet kelahiran Melaka itu teruja untuk beraksi di Australia kerana ia menjadi kejohanan antarabang­sa pertamanya sejak Sukan SEA lalu dan sudah berlatih bersungguh-sungguh bagi mempersiap­kan mental dan fizikalnya bagi menghadapi temasya berkenaan. Dia percaya boleh menamatkan saingan di kedudukan podium.

 ??  ?? JOHNATHAN CHONG Wei
NAURAJ
PANDELELA
JOHNATHAN CHONG Wei NAURAJ PANDELELA
 ??  ?? JUN Hoong
JUN Hoong

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia