Harian Metro

Tempat sembunyi Geng Pikap diserbu

-

Bukit Mertajam: Sekumpulan penjenayah dikenali sebagai Geng Pikap yang aktif melakukan kegiatan pecah rumah diberkas polis dalam satu serbuan di Kulim, Kedah jam 4.30 pagi, Rabu lalu.

Dalam kejadian terbaru Selasa lalu, kumpulan tiga lelaki berusia 22 sehingga 33 tahun berkenaan memecah masuk sebuah rumah di Taman Machang Bubok sehingga mangsa kerugian RM2,000.

Difahamkan, kumpulan itu melarikan diri dan hanya berjaya bersembuny­i kurang 12 jam sebelum dicekup polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, susulan kejadian terbaru itu, mangsa membuat laporan polis sebelum ketiga-tiga suspek diburu dan berjaya dikesan.

Nik Ros Azhan berkata, hasil maklumat risikan, suspek dikesan berada di Kulim, Kedah.

Katanya, susulan itu, polis melakukan serbuan di sebuah rumah di Taman Keranji, Kulim dan berjaya menahan seorang lelaki berusia 23 tahun.

“Hasil soal siasat ke atas suspek, pada hari yang sama jam 9 pagi, polis memberkas dua lagi suspek lelaki berusia 22 dan 33 tahun,” katanya di sini. Menurutnya, semakan rekod lampau juga mendapati kedua-dua suspek mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Nik Ros Azhan berkata, polis merampas dua keping loket emas, kenderaan pacuan empat roda Isuzu DMax, sebuah kereta KIA Spectra, peralatan pecah rumah dan barangan elektrik pelbagai jenama.

Menurutnya, siasatan awal ke atas semua suspek mendapati dua daripada mereka mengaku terbabit dalam kes pecah rumah yang dilaporkan di Taman Machang Bubok.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia