Harian Metro

Lebur RM4,700 terpedaya iklan di FB

-

Temerloh: Terpengaru­h dengan iklan pinjaman wang di Facebook (FB), pemandu jentera angkat susun kerugian RM4,700 selepas ditipu syarikat pinjaman yang tidak wujud.

Ia berlaku selepas lelaki berusia 29 tahun dan berasal dari Lanchang, di sini, memasukkan wang dalam akaun bank milik suspek berkenaan bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang Superinten­dan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, lelaki itu terlihat iklan pinjaman wang di FB pada 22 Mac lalu dan berminat membuat pinjaman.

Beliau berkata, mangsa kemudian menghantar mesej kepada ejen syarikat terbabit.

“Mangsa berhubung dengan seorang lelaki dan memberitah­u ingin membuat pinjaman RM20,000. Untuk itu, mangsa diminta memasukkan RM560 sebagai perjanjian pinjaman.

“Beberapa hari kemudian, mangsa memasukkan wang berkenaan ke dalam satu akaun bank yang diberikan suspek di sebuah cawangan bank di Mentakab,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, mangsa sekali lagi memasukkan RM760 kononnya sebagai pembayaran guaman dalam akaun sama sebelum memindahka­n lagi RM380 untuk insurans.

“Pada Selasa lalu, mangsa sekali lagi memasukkan RM3,000 dalam akaun yang sama kononnya untuk proses membuka akaun pinjaman,” katanya.

Mohd Wazir berkata, esoknya, suspek meminta mangsa RM1,400 untuk duti setem, namun mangsa tidak memasukkan­nya kerana menyedari ditipu sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, di sini, kelmarin.

“Jumlah keseluruha­n wang yang mangsa masukkan dalam akaun berkenaan ialah RM4,700 dan sehingga hari ini duit pinjaman berkenaan tidak diberikan kepada mangsa,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, polis merakam percakapan mangsa untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Kami juga giat memburu suspek termasuk pemilik akaun yang terbabit dalam penipuan ini,” katanya.

 ??  ?? MOHD Wazir
MOHD Wazir

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia