Harian Metro

Hisap rokok konon...

-

Baling: Sudahlah ‘kantoi’ gagal memecah masuk rumah, seorang lelaki yang panik melihat kepulangan pemilik rumah, memberi alasan masuk kediaman itu di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil, dekat sini, kerana ingin menghisap rokok.

Suspek berusia 20-an yang terkejut dengan kepulangan mangsa turut mengacukan pisau sebelum berlaku pergelutan dan cuba melarikan diri namun gagal selepas ditahan hasil bantuan orang awam, Rabu lalu.

Dalam kejadian jam 4 petang, pemilik rumah berusia 35 tahun itu yang pulang pada mulanya menyedari dua lelaki tidak dikenali berada di hadapan kediamanny­a.

Ketua Polis Daerah Baling, Superinten­dan Shariffudd­in Yusuf berkata, pengadu yang tidak mengesyaki apa-apa kemudian masuk dalam rumah sebelum menemui seorang lagi lelaki tidak dikenali berada di dapur.

Menurutnya, pelik dengan kehadiran suspek, mangsa bertanya apa yang dibuat lelaki itu di dalam rumahnya.

“Suspek bagaimanap­un memberi alasan masuk ke dalam rumah itu kerana ingin menghisap rokok sebelum dia tiba-tiba terus mengacu pisau ke arah mangsa.

“Pengadu kemudian bertindak menendang tangan suspek menyebabka­n pisau itu terjatuh ke lantai,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam..

Shariffudd­in berkata, suspek terus melarikan diri namun gagal apabila ditahan hasil bantuan dua lelaki yang menaiki motosikal kebetulan berada di hadapan rumah mangsa.

“Suspek kemudian ditahan polis yang bergegas ke lokasi sebaik dihubungi pemilik rumah.

“Polis merampas sebungkus plastik merah mengandung­i potongan wayar elektrik bersama sebilah pisau,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia