Harian Metro

MANFAAT KEPADA PENDEPOSIT TH

- Syarifah Dayana Syed Bakri dayana@nstp.com.my

 YTL THP JV dilantik sebagai satu daripada

dua PDP bagi kerja sivil projek HSR KL-SG

Pelantikan YTL THP JV Sdn Bhd (YTL THP JV) sebagai satu daripada dua Rakan Penyampaia­n Projek (PDP) bagi kerja sivil projek Kereta Api Berkelajua­n Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR KL-SG) dilihat mampu memberikan manfaat kepada pendeposit Tabung Haji (TH) secara tidak langsung.

Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Datuk Seri Johan Abdullah berkata, konsortium Syarikat Pembinaan Yeoh Tiong Lay Sdn Bhd-TH Properties Sdn Bhd ini bertepatan dengan strategi pelaburan TH yang memberi manfaat kepada lebih sembilan juta pendeposit TH.

“TH dan YTL sudah bekerjasam­a sejak 20 tahun lalu dan kami juga turut bersama-sama membina projek Express Rail Link (ERL) yang menghubung­kan Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal klia2 dengan KL Sentral.

“Sehingga kini, ERL membawa sekitar 87 juta penumpang sejak 2002 dan dengan gabungan pengalaman antara kedua-dua entiti ini dalam projek berkaitan kereta api, kami yakin dapat melaksanak­an tugas dalam projek HSR KL-SG,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam. Sementara itu, Pengarah Urusan YTL Corp Tan Sri Francis Yeoh berkata, pihaknya sangat berminat dengan projek ini, selepas meneroka konsep perkhidmat­an kereta api berkelajua­n tinggi untuk memudahkan perjalanan lancar antara Kuala Lumpur dan Singapura sejak 1990-an.

“Kami teruja apabila projek ini kini membuahkan hasil dan kami percaya bahawa ia akan menjadi titik perubahan dalam menghubung­kan komuniti di Malaysia dan Singapura,” katanya.

Terdahulu, MyHSR Corporatio­n Sdn Bhd (MyHSR Corp) memilih dua konsortium untuk kerja sivil projek HSR KL-SG.

Ia diberikan kepada Malaysian Resources Corporatio­n Bhd-Gamuda Bhd (MRCB-Gamuda JV) bagi jajaran di bahagian utara, manakala YTL THP JV bagi jajaran di bahagian selatan.

Kedua-dua konsortium akan melaksanak­an semua aktiviti yang perlu sepanjang fasa perancanga­n, pembinaan, pengujian dan pengoperas­ian.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia