Harian Metro

Waktu makan paling mencabar Geo

- Recqueal Raimi cnews@nstp.com.my

Sesetengah pihak berpendapa­t tugas dan tanggungja­wab sebagai pegawai dietetik tidaklah begitu mencabar, malah sesiapa saja mampu memikulnya.

Namun, di sebalik tanggapan itu Ikon Metro minggu ini, Geo Allen George, menegaskan kerjaya itu sebenarnya memerlukan tahap kesabaran yang tinggi.

Jejaka berasal dari daerah Tambunan yang berkhidmat sebagai Pegawai Dietetik di Hospital Mesra Bukit Padang, Kota Kinabalu berkata, penugasan di hospital biasa dan hospital ‘sakit jiwa’ berbeza.

“Jika anda fikir bekerja di hospital biasa sudah cukup mencabar, bayangkan pula tugas kami di hospital sakit jiwa. Kerenah manusia normal pun kadangkala sukar diduga apatah lagi melayan orang kurang waras,” katanya.

Menceritak­an mengenai tugasnya, Geo berkata, dia mengenal pasti jenis penyakit dihidapi pesakitnya seperti darah tinggi, jantung dan obesiti sebelum memberikan cadangan mengenai pengambila­n makanan sesuai agar masalah kesihatan itu tidak bertambah serius.

“Paling mencabar ketika waktu makan, kerana kami perlu bijak memujuk pesakit kerana mereka ini boleh menjadi agresif secara tiba-tiba. Ketika baru mula bertugas saya berasa tugas ini amat berat, namun lama-kelamaan ia menjadi semakin mudah.

“Tetapi kena banyak bersabar selain ikhlas mahu membantu pesakit. Kami juga melakukan tugas ini secara berkumpula­n kerana ia lebih mudah,” katanya.

Lulusan Dietetik Universiti Putra Malaysia ini berkata, apa yang dipelajari sebelum ini banyak membantuny­a dalam menjalanka­n tugas selain terus belajar daripada rakan setugas dan pengalaman ditempuh.

“Pesakit sakit jiwa menjadi seperti itu bukan atas kemahuan diri, jadi saya berasa terpanggil untuk bantu mereka agar dapat meneruskan kelangsung­an hidup dalam suasana lebih baik,” katanya.

Anak kedua daripada lima beradik ini berkata, dia juga mengikuti pengajian Sains Kesihatan peringkat sarjana di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu.

“Saya mahu terus berkhidmat dalam bidang ini dan andai diberi peluang, mahu sambung pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD),” katanya.

 ?? FOTO: ??
FOTO:

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia