Harian Metro

Kempen tanpa kait isu sensitif

-

Kuantan: Jangan kaitkan isu sensitif dan berkempen secara berhemah. Itu ingatan Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Shah kepada semua parti politik yang akan berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak lama lagi.

Baginda bertitah, calon yang bertanding tidak kira daripada parti kerajaan mahupun pembangkan­g tidak seharusnya menggunaka­n isu yang boleh mengganggu keharmonia­n sebagai bahan kempen mereka.

Titahnya, adalah menjadi satu kesilapan sekiranya calon bertanding menjadikan pilihan raya untuk mengeliruk­an dan memecahbel­ahkan perpaduan sedia ada.

“Bukan senang kita satukan semua kaum yang ada di negara ini dan Pahang khususnya, ia mengambil masa lebih 61 tahun untuk berbuat demikian.

“Walaupun ada perkara yang perlu diperbaiki tetapi sekurang-kurangnya di Malaysia, kita masih ada tempat untuk berteduh berbanding sesetengah negara lain,” titahnya.

Tengku Abdullah bertitah demikian ketika berangkat ke Majlis Ramah Mesra dan Pengurniaa­n Sumbangan Kepada Warga Emas Masyarakat Tionghua di Sekolah Menengah Kebangsaan Jenis (Cina) Tanah Putih di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Baginda juga menasihatk­an semua parti politik untuk tidak menggunaka­n rumah ibadat terutama masjid sebagai lokasi berkempen.

“Institusi masjid dan rumah ibadat seharusnya sentiasa dihormati, masjid umpamanya hendaklah sentiasa dihormati kerana ia adalah tempat untuk umat Islam beribadat kepada Allah,” titahnya.

Sementara itu, Tengku Abdullah turut menggesa rakyat di negeri itu merebut peluang yang ada menerusi pelaksanaa­n projek besar seperti Taman Perindustr­ian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) dan Projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL).

“Jika kita tidak mengambil peluang yang diberikan, orang luar yang akan melakukan kerja itu.

“Saya sudah banyak kali beritahu supaya sedikit sebanyak orang Pahang sendiri dapat menikmati faedah daripada kejayaan projek besar di sini,” titahnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia