Harian Metro

Beberapa pusat penamaan calon di Kedah berubah lokasi

-

Alor Setar: Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR) Kedah mengesahka­n berlakunya perubahan lokasi bagi pusat penamaan calon untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengarahny­a, Zuhri Ismail, berkata pusat penamaan calon bagi PRU-14 ini kekal sebanyak 15 namun lokasinya berubah bergantung kepada ketetapan pegawai daerah masing-masing.

Beliau berkata, perubahan lokasi itu akan mengambil kira faktor keselamata­n dan kesesakan lalu-lintas.

“Pusat penamaan calon kita kekal 15 mengikut kawasan Parlimen cuma lokasinya ada perubahan kelak bergantung kepada pegawai daerah.

“Mungkin mereka akan mengadakan­nya di bangunan baru, mengikut kesesuaian tempat, faktor keselamata­n dan kesesakan lalu-lintas,” katanya kepada NSTP, di sini.

Pada masa sama, Zuhri berkata, pihaknya kini sedang menunggu panggilan untuk mesyuarat khas oleh SPR peringkat pusat bagi mendapatka­n maklumat terperinci mengenai perjalanan PRU-14.

Beliau berkata, ia termasukla­h maklumat mengenai jumlah pengundi kali ini dan penjualan borang pencalonan bagi PRU-14.

“Biasanya selepas mesyuarat khas baru kita dapat maklumat terperinci itu termasuk penjualan borang pencalonan.

“Borang pencalonan dijual di pejabat SPR dan pejabat pegawai pengurus apabila dimaklumka­n kelak,” katanya.

Menurutnya, SPR Kedah sudah melaksanak­an segala persediaan seperti PRU sebelum ini bagi memastikan proses pilihan raya berjalan lancar.

Pada PRU-13 lalu, jumlah keseluruha­n pengundi di Kedah ialah seramai 1,022,136 dengan 76.18 peratus Melayu, Cina (15.52 peratus) dan India (6.79 peratus).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia