Harian Metro

Tamakninah dan kehidupan

 Solat mengajar erti jangan gopoh mengambil tindakan dalam semua perkara

-

Ada orang keluar dari rumah untuk mencari rezeki pada awal pagi dan balik ke rumah ketika matahari terbenam.

Ada yang menghadiri majlis dan perjumpaan sehingga padat jadual hariannya.

Pendek kata, urusan kehidupan di dunia ini tidak pernah berhenti.

Setiap insan perlu memahami hakikat kehidupan di dunia adalah untuk mencari bekalan di akhirat kelak.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan dan demi sesungguhn­ya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?” (Surah al-An’am,

ayat 32)

Dalam mengurus kehidupan yang sarat itu, ada manusia bersifat rakus mengejar habuan dunia.

Golongan seperti itu sanggup melakukan apa saja meskipun ia dilarang Allah SWT.

Allah SWT mengingatk­an kita mengenai perbanding­an kehidupan dunia dan akhirat menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhn­ya berjayalah orang yang selepas menerima peringatan itu, lalu berusaha membersihk­an dirinya (dengan taat dan amal yang soleh). Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya serta mengerjaka­n

sembahyang (dengan khusyuk). (Tetapi kebanyakka­n kamu tidak melakukan yang demikian), bahkan kamu utamakan kehidupan dunia. Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal.”

(Surah al-A’laa, ayat 14-17)

Satu sifat yang perlu dielakkan adalah sifat gopoh. Banyak keburukan timbul kesan daripada sifat gopoh terutama ketika melakukan sesuatu pekerjaan.

Ketika menerima sesuatu berita tidak betul, tanpa usul periksa kita terus menzahirka­n rasa marah kepada orang di sekeliling.

Ada kalanya, orang itu tidak terbabit pun dengan berita itu. Mulut juga terus menghambur­kan kata-kata kesat.

Bukankah seeloknya berita itu diselidiki terlebih dulu. Mungkin telinga silap mendengar perincian berita yang diterima.

Segalanya akan jadi baik jika kita mengambil sedikit masa membuat pengesahan mengenai perkara sebenar dan tidak gopoh membuat tindakan.

Memang sifat gopoh ada dalam diri setiap manusia. Hal itu dijelaskan Allah SWT menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Jenis manusia dijadikan bertabiat terburu-buru (gopoh) dalam segala halnya, Aku (Allah) akan perlihatka­n kepada kamu tanda-tanda kekuasaan-Ku, maka janganlah kamu meminta disegeraka­n (kedatangan­nya).” (Surah al-Anbiya’,

ayat 37)

Perbuatan gopoh juga ditegah ketika melakukan ibadat kepada Allah SWT. Perhatikan­lah ketika menunaikan solat, antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah tamakninah.

Tamakninah bermaksud berhenti seketika ketika melakukan pergerakan solat sebelum beralih kepada pergerakan lain.

Itu petanda jelas Islam mengajar pengikutny­a bersifat tertib dalam melakukan ibadat untuk mengelakka­n sifat gopoh.

Sepatutnya, nilai baik yang diterapkan dalam solat perlu dipraktikk­an dalam kehidupan. Sifat gopoh hanya membuatkan diri tidak memberi tumpuan ketika beribadat.

Malah, diri akan berasa letih melakukan ibadat sedangkan sepatutnya setiap Muslim berasa tenang ketika beribadat kepada Allah SWT.

Begitu juga ketika berdoa, ada manusia bersifat gopoh supaya permohonan­nya segera dimakbulka­n Allah SWT.

Namun, tindakanny­a dalam menyahut seruan melakukan ibadat selalu bertangguh. Firman Allah

SWT yang bermaksud:

“Dan manusia berdoa dengan (memohon supaya dia ditimpa) kejahatan sebagaiman­a dia berdoa dengan memohon kebaikan dan sememangny­a manusia itu (bertabiat) terburubur­u (gopoh).” (Surah al-Isra’, ayat 11)

Perintah supaya tidak bersifat gopoh sememangny­a mempunyai hikmah bagi golongan yang benarbenar patuh terhadap titah perintah Allah SWT.

Sifat gopoh boleh mendatangk­an kerugian dalam kehidupan manusia. Perkara baik yang dilakukan secara tergopoh-gapah menyebabka­n ia dibuat secara ala kadar dan tidak sempurna.

Selain itu, sesuatu yang dilakukan secara gopoh juga menghadirk­an pelbagai sifat negatif seperti cepat marah, buruk sangka, mengeluark­an kata-kata dusta dan kesat serta persengket­aan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Terburubur­u (gopoh) itu daripada syaitan.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Sifat gopoh hanya mencermink­an keperibadi­an seolah-olah manusia itu tidak mempercaya­i adanya pertolonga­n Allah SWT dalam setiap urusan hambaNya.

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

 ??  ?? BEKALAN untuk akhirat usah dilupakan walau sesibuk manapun kehidupan di dunia.
BEKALAN untuk akhirat usah dilupakan walau sesibuk manapun kehidupan di dunia.
 ??  ?? Bersama Mohd Shahrizal
Nasir
Bersama Mohd Shahrizal Nasir

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia