Harian Metro

Belum selamat

- Zulfaizan Mansor Zulfaizan@nstp.com.my

 Red Giants perlu waspada di suku akhir kedua

Ketua jurulatih Selangor, Nazliazmi Mohamad Nasir menegaskan pasukannya masih belum selamat untuk mara ke separuh akhir Piala FA biarpun meraih kemenangan selesa 3-0 ke atas Kuala Lumpur pada suku akhir pertama di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, kelmarin.

Sebaliknya, beliau yang baru dilantik sebagai ketua jurulatih The Red Giants, Selasa lalu tetap berwaspada dengan kebangkita­n anak buah Fabio Maciel pada suku akhir kedua di gelanggang sama, 21 April ini.

“Dalam bola sepak, apa saja boleh berlaku. Walaupun kami menang 3-0 pada aksi pertama, tak bermakna kami mampu raih keputusan sama pada suku akhir kedua nanti.

“Malah, kami sedar yang Kuala Lumpur pasti akan bermain habis-habisan untuk bangkit pada aksi kedua. Jadi, kami masih belum selesa dan perlu kekalkan fokus,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Pada perlawanan yang sedikit panas itu, satu gol daripada Willian Costa Pacheco dan dua jaringan Rufino Segovia sudah cukup untuk The Red Giants membawa pulang bekalan selesa dari gelanggang lawan.

Mengulas lanjut mengenai persembaha­n anak buahnya, Nazliazmi menjelaska­n fokus 100 peratus dan mengikut segala perancanga­n awal menjadi faktor juara Piala FA lima kali itu berjaya menundukka­n skuad The City Boys.

“Kredit untuk semua pemain kerana mempamerka­n aksi terbaik dan mengikut segala perancanga­n serta taktikal. Tiga gol yang terhasil bukan mudah kerana kita boleh lihat tentangan sengit diberikan Kuala Lumpur.

“Kuala Lumpur memberikan tekanan yang hebat yang menyebabka­n pertahanan kami sedikit goyah. Apapun pemain saya dapat mengawal permainan dan meraih kemenangan,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Maciel meluahkan rasa tidak puas hatinya dengan tindakan kapten Selangor, Amri Yahyah yang didakwa tidak menghormat­i pasukannya.

Maciel mendakwa Amri tidak mempamerka­n sikap profesiona­l selepas The Red Giants mendahului The City Boys 2-0.

“Selepas tamat babak pertama, saya cuba bercakap dengan pemain memakai jersi nombor 17 (Amri), saya tidak tahu nama dia. Bagi saya dia perlu lebih hormat kepada pasukan lawan.

“Ia bukan seperti cara pemain bola sepak. Dalam bola sepak kadang-kadang kita gembira dan ada kalanya kita menangis. Hari ini dia gembira, mungkin satu hari nanti dia akan menangis. Tapi dalam bola sepak anda perlu hormat pasukan lawan,” katanya.

Maciel diminta untuk tidak berada di bangku simpanan oleh pegawai perlawanan selepas didakwa menolak Amri ketika pemain berusia 37 tahun itu berjalan memasuki ke bilik persalinan selepas tamat babak pertama.

Tindakan pengendali kelahiran Brazil itu mencetuska­n sedikit kekecohan sebelum ia dileraikan pegawai perlawanan dan pegawai kedua-dua pasukan.

Namun, Maciel menafikan menolak Amri sambil menjelaska­n beliau hanya memegang leher pemain itu dan memintanya lebih menghormat­i pasukan Kuala Lumpur.

“Saya bercakap dengan Rufino Segovia dan Willian Pocheco seperti biasa di mana saya menyatakan permainan mereka pada babak pertama bagus.

“Saya juga memaklumka­n kepada dia (Amri) supaya lebih hormat pasukan lawan, kerana selepas mendahului 2-0 dia cuba bermain dengan bola dan (selepas itu) dia cakap sesuatu pada saya. Sebab itu saya pegang (leher Amri), tanpa menolak, tapi dia jatuhkan badan,” katanya.

 ??  ?? PEMAIN Selangor, Ilham Udin Armaiyn (kanan) diasak pemain Kuala Lumpur, Muhammad Irfan Zakaria dalam aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium KLFA Cheras, kelmarin.
PEMAIN Selangor, Ilham Udin Armaiyn (kanan) diasak pemain Kuala Lumpur, Muhammad Irfan Zakaria dalam aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium KLFA Cheras, kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia