Harian Metro

RM62,500 lesap beli jentolak tidak wujud

-

Jerantut: Seorang peniaga kerugian RM62,500 selepas membayar sindiket menawarkan sebuah jentolak tanah yang tidak wujud menerusi sebuah laman web jual beli.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Superinten­dan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, lelaki berusia 48 tahun itu pada mulanya tertarik untuk membeli jentolak jenis Case 580 Super L yang diiklankan menerusi laman berkenaan, Khamis lalu.

Katanya, berminat dengan jentera berkenaan yang dijual pada harga RM65,000, mangsa menghubung­i nombor telefon dipaparkan dalam iklan dan bercakap dengan seorang lelaki bernama Samsul.

“Selepas perbincang­an, mangsa bersetuju memberikan deposit RM1,000 sebelum memasukkan wang berkenaan ke akaun sebuah bank yang diberikan suspek,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, suspek menghubung­i mangsa, Sabtu lalu dan memberitah­u lelaki itu tidak perlu ke Muar, Johor, untuk mengambil jentera jika membuat bayaran penuh RM61,500 dan mendakwa memberi diskaun.

Pada hari sama, katanya, mangsa membuat empat transaksi dengan jumlah RM30,000 ke akaun sama melalui mesin deposit tunai (CDM) di sebuah bank di Jerantut.

“Mangsa sekali lagi membuat empat lagi transaksi dengan jumlah RM31,500 ke akaun sama menerusi CDM di Jengka, pada hari sama,” katanya.

Mohd Wazir berkata, selepas membuat semua transaksi, suspek memberitah­u mangsa bahawa dirinya adalah penipu sebelum peniaga berkenaan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut.

“Modus operandi sindiket adalah dengan menawarkan penjualan jentolak tanah yang tidak wujud menerusi laman web untuk menipu mangsa,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia