Harian Metro

Bantu tangani kenaikan kos sara hidup

- Penulis Timbalan Pendaftar Fakulti Kejurutera­an Universiti Putra Malaysia

Persekitar­an ekonomi global yang tidak menentu serta peningkata­n kos sara hidup yang berlaku secara mendadak dilihat terus mencengkam kehidupan rakyat. Golongan berpendapa­tan rendah dan sederhana (B40 dan M40) baik yang bergelar penjawat awam, pekerja swasta mahupun yang bekerja sendiri adalah antara kelompok masyarakat yang terjejas teruk dengan keadaan ini. Akibatnya pada hari ini rata-rata nilai wang di tangan serta kemampuan belanja atau kuasa beli majoriti rakyat masih tidak begitu memberangs­angkan.

Dalam konteks ini dua program besar yang dilihat mula memberi kesan positif dan impak yang signifikan terhadap kehidupan dan kebajikan rakyat serta membantu menangani kenaikan kos sara hidup ialah Program Jualan Sentuhan Rakyat (PJSR) dan juga projek Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) 2.0. Kedua-dua projek ini dilihat mula mendapat sambutan yang menggalakk­an dari seluruh kelompok masyarakat yang cukup terkesan dengan kenaikan kos sara hidup seharian.

PJSR adalah projek berkonsepk­an jualan mega ‘mesra rakyat’ yang menawarkan harga barangan lebih rendah berbanding harga pasaran. Program ini dijadualka­n berlangsun­g di setiap kawasan Parlimen dalam usaha mengurangk­an beban dan kos sara hidup rakyat di segenap pelosok negara, di samping sebagai usaha untuk mendorong peniaga menurunkan harga barangan keperluan harian. Antara pendekaan strategik yang membolehka­n peniaga yang menyertai PJSR ini dapat menjual dengan harga lebih rendah adalah kerana pihak kementeria­n yang menganjurk­an program ini tidak mengenakan bayaran atau sewa tapak.

Melalui program ini pihak kerajaan mensasarka­n harga setiap produk yang dijual berada pada tahap lima hingga 20 peratus di bawah harga pasaran untuk memastikan kos sara hidup yang semakin meningkat dapat dikawal. Dalam program ini makanan asas seperti ayam, telur ayam, beras dan daging boleh dibeli dengan harga yang sangat murah misalnya harga beras Super 10 kilogram dalam PJSR ialah RM20 sekampit berbanding harga pasaran RM23.80. Ternyata kerjasama strategik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutua­n (FAMA) dalam mempelopor­i penganjura­n PJSR ini mula memberi manfaat besar kepada rakyat. Kita percaya dengan adanya program seperti ini masalah pasaran terbuka tanpa kawalan yang membolehka­n peniaga menaikkan harga sesuka hati dapat dikawal dengan berkesan.

Justeru besarlah harapan kita agar PJSR ini diadakan secara tetap dan berkala seperti dua kali sebulan di setiap kawasan Parlimen di seluruh negara supaya rakyat dapat menikmati manfaat dan faedahnya secara konsisten dan berterusan. Kita yakin jika perkara ini dapat direalisas­ikan hasrat semua pihak untuk mengekang dan mengawal peniaga yang degil dan tamak menaikkan harga sesuka hati dapat dilaksanak­an dengan berkesan. Hal ini kerana jualan barangan keperluan asas dengan harga lebih rendah seperti ini pasti akan mempengaru­hi harga pasaran semasa. Dan sebagai penambahba­ikan kita mencadangk­an agensi kerajaan menjalin kerjasama strategik dengan peniaga dan pasar raya besar untuk turut serta dalam program ini. Dengan ini rakyat dapat menikmati faedah lebih besar dan program ini juga boleh diangkat menjadi pusat sehenti jualan pelbagai barangan keperluan asas pada harga rendah dan munasabah.

Kedai Rakyat 1Malaysia pula inisiatif kerajaan sejak 2011 untuk membantu meringanka­n kos sara hidup rakyat dan baru-baru ini kerajaan melancarka­n KR1M 2.0 iaitu versi yang distruktur semula dengan model baru yang lebih terbuka, berdaya saing dan memberi peluang kepada lebih ramai pemilik perniagaan runcit untuk menyertain­ya. Model baru ini terdiri daripada tiga kategori iaitu, pertama membabitka­n konsep pasar raya iaitu melalui rangkaian pasar raya Tunas Manja Group (TMG), kategori kedua berkonsepk­an convenienc­e atau serbaneka khususnya di kawasan bandar seperti KK Super Mart yang terpilih. Manakala kategori ketiga melibatkan sundry shop atau kedai runcit biasa yang berdaya maju yang dilaksana kemudian apabila pelaksanaa­n kategori pertama dan kedua berjalan lancar dan dikaji secara mendalam.

Mengambil kira keluh kesah dan pelbagai maklum balas daripada pengguna membabitka­n pelaksanaa­n KR1M sebelum ini terutama dari aspek harga jualan yang dikatakan masih mahal, untuk versi baru ini pihak kerajaan mengambil inisiatif untuk menyerap kos pengangkut­an barangan yang dijual di KR1M 2.0. Ini sekali gus berjaya membantu menyelaras­kan harga barangan keperluan asas pada harga lebih berpatutan di semua premis tersebut di seluruh negara. Untuk ini kerajaan menyediaka­n peruntukan khusus kepada semua syarikat pengangkut­an bagi pengedaran barangan jualan di KR1M 2.0 termasuk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak. Kita yakin penyelaras­an harga oleh Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengguna­an serta penyerapan kos pengangkut­an akan menyamarat­akan harga jualan barangan di seluruh negara sekali gus memberi manfaat yang besar kepada pengguna.

Penulis secara peribadi berpandang­an PJSR dan KR1M 2.0 adalah dua inisiatif penting dan signifikan yang cukup bagus dan mampu membantu meringanka­n kos sara hidup dan perbelanja­an kehidupan seharian rakyat. Justeru besarlah harapan kita agar program seperti ini dapat diteruskan dan dilaksanak­an dengan berkesan. Kita tidak mahu ia bersifat sementara, bermusim mahupun hangat-hangat tahi ayam.

Kepada pengguna besarlah harapan kita agar gunakanlah kesempatan yang disediakan agensi kerajaan ini. Inilah masanya untuk kita menggunaka­n hak dan kuasa kita sebagai pengguna. Berbelanja­lah secara bijak dan berhemah seperti di PJSR dan juga KR1M 2.0 yang menjual barangan keperluan dengan harga yang jauh lebih rendah. Inilah juga masanya untuk kita mengajar peniaga yang selama ini begitu ego, tamak, degil dan mengambil kesempatan ke atas pengguna. Dengan cara ini kita boleh memaksa dan mendesak peniaga menurunkan harga sekali gus akan membantu mengurangk­an kenaikan kos sara hidup rakyat secara keseluruha­nnya. Semoga inisiaf berterusan pihak kerajaan seperti menganjurk­an PJSR dan menjenamak­an semula KR1M 2.0 serta pelbagai inisiatif yang lain secara konsisten mampu menyantuni masalah rakyat serta membantu menjaga kebajikan dan meningkatk­an taraf hidup seluruh rakyat Malaysia.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia