Harian Metro

34 dicekup, aset RM1.1 juta disita

-

Seremban: Tiga puluh empat ahli kongsi gelap Geng 36 yang terbabit pelbagai jenayah di negeri itu ditahan polis dan menyita pelbagai aset bernilai RM1.1 juta.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, semua suspek itu dipercayai terbabit dalam kes bunuh, pemerasan, mendatangk­an kecederaan, khianat dengan api dan pengedaran dadah sejak beberapa tahun lalu.

Menurutnya, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri dibantu JSJ Bukit Aman melancarka­n Ops Khas Hoben 1/2018 dan menyasarka­n tangkapan terhadap ahli kongsi gelap terbabit mulai 29 Mac lalu sehingga semalam.

“Hasilnya, polis memberkas 34 lelaki berusia 25 hingga 34 tahun di Negeri Sembilan, Pahang dan Perak.

“Mereka terdiri daripada peniaga, pengutip hutang, penarik kereta dan pemandu lori,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Zaki Harun dan Ketua JSJ negeri, Asisten Komisioner Norazman Mohamad Yusof.

Noor Azam berkata, siasatan dijalankan mengikut Bab VIB Seksyen 130V dan 130W Kanun Keseksaan dengan kebanyakan suspek memiliki rekod lampau berkaitan jenayah kekerasan dan pengedaran dadah.

Katanya, 20 suspek pernah diambil tindakan mengikut Undang-Undang Pencegahan di bawah Ordinan Darurat, Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

“Semua mereka itu ditahan selama 28 hari bermula 29 Mac lalu hingga 25 April ini mengikut Seksyen 4 (5) Akta Kesalahan Keselamata­n (Langkah-Langkah Khas) 2012,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga masih memburu sembilan lagi lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap berkenaan.

“Hasil penahanan mereka itu, kami menyita dua kediaman bernilai RM600,000 dan membekukan akaun bank berjumlah RM28,105.

“Kita turut merampas tujuh kenderaan iaitu Toyota Alphard, Mercedes-Benz, Perodua Myvi dan Honda Civic bernilai RM468,000.

“Selain itu, turut dirampas, barang kemas bernilai RM7,000, pelbagai dokumen pajak gadai, telefon bimbit dan jam tangan berjenama mewah,” katanya.

 ??  ?? NOOR Azam (dua dari kiri) menunjukka­n barang kes yang dirampas daripada kumpulan kongsi gelap Geng 36 pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Negeri Sembilan.
NOOR Azam (dua dari kiri) menunjukka­n barang kes yang dirampas daripada kumpulan kongsi gelap Geng 36 pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Negeri Sembilan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia