Harian Metro

Perlu cepat serasi

- Fadhli Ishak fadhli.ishak@nstp.com.my

 Hafizh jalani latihan sebagai persediaan beraksi di Litar Americas

Pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah mahu meneruskan momentum positif dipamerkan­nya sebelum ini pada Grand Prix Amerika Syarikat di Austin, hujung minggu ini.

Selepas meraih kedudukan kesembilan di Argentina dan berada di tangga pertama dalam carta muka baru kelas perdana itu, Hafizh terus ke AS untuk menjalani latihan di kem Colin Edwards Texas Tornado Boot sebagai persediaan bagi aksi di Litar Americas.

(gambar)

“Saya amat gembira dengan keputusan yang diraih dalam dua perlumbaan awal dan saya amat menantikan Grand Prix minggu ini,” kata pelumba pasukan Monster Yamaha Tech3 itu.

“Saya akan cuba melakukan yang sama atau mencari penamat lebih baik lagi. Sebelum Austin, saya mempersiap­kan diri dengan beberapa latihan di kem ini.

“Jadi, fizikal saya berada di tahap yang baik, saya meningkat dari semasa ke semasa dan saya lebih daripada bersedia untuk pusingan ketiga ini. Saya tidak sabar untuk bertemu pasukan sekali lagi dan berharap dapat memberikan yang terbaik untuk mereka sekali lagi.”

Litar Americas atau COTA adalah litar yang sering dikunjungi Hafizh sejak empat tahun lalu ketika menyertai kelas Moto2.

Pelumba berusia 23 tahun itu meraih penamat keenam pada 2015, ke-16 (2016) dan ke-11 tahun lalu.

Sementara itu, prinsipal pasukan, Herve Poncharal berharap Hafizh mampu cepat mencari keserasian dengan litar COTA bersama jentera YZR-M1 seterusnya meraih satu lagi penamat 10 terbaik.

“Sekali lagi satu misi yang mencabar, perlu meneroka litar dengan jentera MotoGP tapi dia mempunyai keyakinan dan kesungguha­n yang bagi saya, dia sekali lagi akan bersaing untuk mencari penamat hampir sama seperti di Argentina,” kata Poncharal.

“Kami sudah bersedia untuk mempamerka­n aksi menarik bagi menggembir­akan peminat MotoGP di Amerika terutamany­a Yamaha USA, yang sering menjadi rakan menakjubka­n.”

Hafizh menggantik­an Jonas Folger yang mengalami masalah kesihatan pada saat akhir sebelum musim 2018 bermula dan setakat ini, dia sudah meraih penamat yang menjanjika­n kutipan mata di kedua-dua perlumbaan sebelum ini.

Di Qatar yang juga pusingan pembuka tirai, Hafizh menamatkan saingan di tangga ke-14, manakala kesembilan di Argentina, dua minggu lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia