Harian Metro

Kawauchi akhiri penantian 31 tahun Jepun

-

New York: Yuki Kawauchi muncul pelari lelaki Jepun pertama dalam tempoh 31 tahun memenangi Maraton Boston dengan percubaan keempat tahun ini, manakala Desiree Linden muncul pelari wanita Amerika Syarikat (AS) pertama menjuarai sejak 1985.

Perlumbaan edisi ke-122 itu bermula dalam cuaca paling sejuk sepanjang tempoh 30 tahun lalu dengan keadaan berangin dan hujan.

“Bagi saya, ini adalah terbaik,” kata Kawauchi.

Kawauchi mengambil alih kejuaraan daripada pelari Kenya, Geoffrey Kirui selepas memintas pesaingnya itu pada dua kilometer terakhir dalam keadaan hujan lebat untuk merekodkan 2 jam 15 min 58 saat, manakala Kirui mencatatka­n 2:18.23s

Pelari AS, Shadrack Biwott menduduki tempat ketiga dengan perbezaan 12 saat.

“Ini adalah hari terhebat dalam hidup saya,” kata Kawauchi yang menitiskan air mata.

“Ini adalah Boston. Ia adalah perlumbaan terhebat dunia.”

Kawauchi muncul pemenang pertama lelaki dari Jepun bagi maraton ini sejak Toshihiko Seko memenangi gelaran keduanya pada 1987. Ia juga pelari kelapan Jepun memenangin­ya.

Maraton Boston juga adalah kemenangan kelima berturut-turut buat Kawauchi dalam perlumbaan kategori ini selepas kali terakhir memenangi Maraton Hofu di Jepun pada tahun lalu.

Linden pula mengatasi pelari dari Habsyah, Mamitu Daska dan pelari Kenya, Gladys Chesir dengan mencatatka­n masa 2:39:54s.

“Saya sukakan bandar ini, perlumbaan ini, laluan ini. Ia adalah seperti sebuah buku cerita. Saya teruja dapat berada di sini dan memenangin­ya,” kata Linden. - AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia