Harian Metro

Peguam muda yakin tawan ‘kerusi panas’

-

Kuala Lumpur: Peguam muda, Adnan Abu Seman antara calon muka baru diumumkan Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutua­n untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), semalam.

Dua muka baru lain juga calon profesiona­l adalah Timbalan Setiausaha MCA Seputeh, Chan Quin Er dan Ketua Wanita MCA Bukit Bintang, Ann Tan Ean Ean.

Perkara itu diumumkan Setiausaha BN Wilayah Persekutua­n, Datuk Rizalman Mokhtar di Dewan Tun Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Adnan, 42, anak jati Kampung Malaysia Tambahan dipilih mengisi ‘kerusi panas’ Parlimen Bandar Tun Razak yang menjadi rebutan antara UMNO dan MCA sebelum ini.

Ketika ditemui, Adnan melahirkan keyakinan bahawa kelebihann­ya sebagai pemidato, peguam muda dan penganalis­is politik akan memberi kelebihan kepada BN.

“Saya akan duduk dengan pasukan untuk teliti dan memperhalu­si isu pendidikan dan sosial.

“Kami berhasrat meningkatk­an taraf pendidikan dan bilangan graduan dari Bandar Tun Razak,” katanya.

Sementara itu, Quin Er, 31, yang juga bekas timbalan pendakwa raya bergiat aktif dalam politik MCA sejak usia 20 tahun.

“Tanggungja­wab ini memang berat, tetapi saya terima cabaran sebagai calon wanita muda dan berjanji melakukan perubahan untuk generasi akan datang.

“Harapan saya supaya terus diberikan mandat dan dapat berada di Parlimen untuk membela nasib pengundi Seputeh,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia