Harian Metro

Hukum guna WiFi tanpa izin pemilik

-

Apakah hukum menggunaka­n WiFi yang tidak diletakkan kata laluan?

Masyarakat kita pada hari sudah terbiasa dengan penggunaan WiFi. Dalam hal itu, kebiasaann­ya pemilik WiFi akan meletakkan kata laluan.

Ada juga pemilik tidak meletakkan tetapan kata laluan. Justeru, masyarakat kita terkeliru berkenaan hukum penggunaan WiFi yang tidak diletakkan kata laluan padanya.

Secara umumnya, kita dilarang untuk menggunaka­n atau memakan harta seseorang secara bathil. Ini jelas berdasarka­n firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu di antara kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya).” (Surah alNisa’: 29)

Al-Maraghi berkata: ‘Bathil’ bererti sia-sia manakala menurut istilah agama ialah mengambil harta orang lain tanpa imbalan yang sewajarnya atau kerelaan pemiliknya. (Rujuk Tafsir al-Maraghi - 3/1168)

Prof Dr Syeikh Wahbah al-Zuhaili berkata, maksud memakan harta dengan cara batil iaitu dengan pelbagai cara perolehan yang tidak syar’ie seperti riba, judi, ghasb dan menipu dalam timbangan jual beli. (Rujuk Tafsir al-Munir, 5/31)

Daripada Anas bin Malik RA, sabda Nabi SAW maksudnya: “Tidak halal mengambil harta seseorang Muslim kecuali dengan kerelaan dirinya.” (Riwayat al-Daraqutni 2885)

Nabi SAW juga bersabda yang bermaksud: “Sesungguhn­ya darahmu, hartamu dan kehormatan­mu terpelihar­a antara sesama kamu sebagaiman­a terpelihar­anya hari ini, bulan ini dan negerimu ini.” (Riwayat Bukhari 67 dan Muslim - 1679)

Dalam isu ini, tidak dibolehkan untuk menggunaka­n WiFi yang tidak diletakkan kata laluan kecuali selepas mendapat keizinan daripada pemiliknya.

Namun, penggunaan itu dibolehkan jika sekiranya kita mengetahui bahawa pemilik WiFi reda dan mengizinka­nnya.

Marilah kita berdoa semoga dijauhi dan dilindungi Allah SWT daripada perkara yang dimurkai oleh-Nya dan seterusnya hidup di bawah rahmat-Nya.

Sumber: Al-Kafi Li Al-Fatawi Pejabat Mufti Wilayah Persekutua­n

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia