Harian Metro

Bangkit lawan kecewa

-

“Saya pernah cuba mencari pelbagai kerja namun ramai tidak mahu menerima. Mungkin disebabkan kekurangan diri mereka merasai keupayaan saya terbatas sehingga saya rasa kecewa dan berputus asa.

“Sampai satu tahap, saya rasakan saya hanya mampu hidup atas pertolonga­n orang lain disebabkan tidak mampu berdikari,” kata penternak ikan air tawar, Muhamad Iqbal Majid, 24.

Muhamad Iqbal yang cacat sejak lahir disebabkan kedua-dua kakinya kecil menyebabka­nnya terpaksa menggunaka­n tapak tangan untuk berjalan.

Namun perkara itu dipendamny­a sebelum dia nekad berusaha untuk berjaya seperti orang normal lain.

Katanya, dia malu dengan kekurangan diri itu namun atas dorongan dan kata semangat daripada keluarga memberinya kekuatan.

“Tidak pernah terlintas di fikiran saya hanya mampu hidup atas bantuan orang lain disebabkan kecacatan yang dialami.

“Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya mencari pelbagai kerja namun ramai tidak mahu menerima,” katanya di rumahnya di FELDA Serting Hilir 6, di sini, semalam.

Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, dia tidak mahu perkara itu terus menjadi penghalang untuk dia berjaya seperti orang lain.

“Disebabkan saya mempunyai minat dengan ikan air tawar sejak di sekolah saya memberanik­an diri menternak ikan pada 2014. “Saya memohon tanah daripada FELDA sebelum mendapat satu lot tanah berhampira­n rumah dan mendapat bimbingan dari Jabatan Perikanan untuk menternak ikan.

“Alhamdulil­lah, sejak itu rezeki saya semakin murah malah keluarga turut memberi modal awal RM3,500 untuk saya menjalanka­n projek ini,” katanya.

Menurutnya, dia menternak ikan keli Afrika dan talapia yang memberi pulangan lumayan.

“Sejurus itu, pihak FELDA yang melihat keupayaan saya memberi satu lagi lot tanah di FELDA Serting Hilir Kompleks pada 2016 untuk saya menternak ikan talapia, kap, lampam, puyu dan keli kampung.

“Kini saya boleh memperoleh pendapatan sehingga RM7,000 hasil daripada jualan ikan serta benih ikan di sekitar kawasan ini.

“Apa yang membanggak­an, saya dapat membantu keluarga berbanding dulu.

“Walaupun hanya saya seorang saja OKU dalam keluarga namun saya saja berjaya menjadi usahawan sekali gus membanggak­an mereka,” katanya.

Katanya, OKU tidak seharusnya menjadikan kekurangan diri sebagai penghalang untuk mereka berjaya.

“Sebaliknya kita seharusnya menggunaka­n kudrat yang ada untuk mencari rezeki dan percayalah Allah SWT sentiasa membantu.

“Lakukan sesuatu itu dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia