Harian Metro

Gunners selesa atasi West Ham

-

London: Selepas Arsene Wenger membuat pengumuman akan meninggalk­an Arsenal hujung musim ini, anak buahnya tampil mempamer aksi menarik ketika mengalahka­n West Ham 4-1 di Emirates, malam tadi.

Wenger, 68, dikritik hebat penyokong setia Gunners selepas gagal memenangi Liga Perdana Inggeris sejak 14 musim lalu dan beliau mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan, Jumaat lalu.

Ketika pemain dan barisan kepemimpin­an kelab memberi jaminan Wenger akan diberikan sambutan meriah pada aksi terakhirny­a nanti, sebilangan penyokong masih lagi enggan mengiktira­fnya walaupun pengendali itu pernah memenangi tiga gelaran Liga Perdana serta tujuh Piala FA sejak 22 tahun lalu.

Begitupun, empat gol pada babak kedua menerusi Nacho Monreal, Aaron Ramsey dan dua jaringan Alexandre Lacazette memastikan Wenger boleh meraikan kemenangan itu dengan senyuman.

Baru-baru ini, Wenger merayu penyokong supaya terus menyokongn­ya bagi baki musim ini apatah lagi Arsenal masih berpeluang layak ke Liga Juara-Juara musim depan menerusi tiket selaku juara Liga Europa.

Tidak ramai penyokong yang menyahut rayuannya itu dan hanya segelintir yang melaungkan ‘hanya ada seorang Arsene Wenger’ dan aksi di tempat sendiri malam tadi masih lagi menyaksika­n banyak tempat duduk kosong.

Arsenal mungkin menamatkan musim di tangga paling rendah sejak dikendalik­an Wenger dan kemenangan ke atas West Ham tidak mengubah kedudukan mereka di tempat keenam, enam mata di belakang Chelsea.

Wenger masih lagi boleh meninggalk­an kelab dengan bangga jika menjulang Liga Europa yang mana Arsenal akan melayan kunjungan kelab Sepanyol, Atletico Madrid pada separuh akhir pertama, Khamis ini. - AFP

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia