Harian Metro

Minta saksi kes tembak tampil

-

Seremban: Polis meminta individu yang menyaksika­n kejadian kereta milik seorang peniaga ditembak berdekatan lampu isyarat di Bangunan Rasah Prima di sini kelmarin tampil memberikan maklumat.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, kerjasama saksi penting kerana individu itu mungkin mengecam raut wajah dan tubuh suspek.

Beliau berkata, sebaik tiga das tembakan dilepaskan ke arah kereta mangsa, suspek melarikan diri dengan menunggang motosikal ketika hujan lebat serta jalan sesak.

“Kami masih menjalanka­n siasatan termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tepi jalan.

“Saksi diminta tampil membantu polis dengan menghubung­i Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di talian 06-768 2222,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Akhbar semalam melaporkan seorang peniaga ketakutan apabila seorang lelaki tidak dikenali melepaskan tiga das tembakan ke arah kereta BMW yang dinaikinya di lokasi itu.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, mangsa berusia 46 tahun memandu dari Kuala Sawah, Rantau menghala ke Seremban sebelum didekati lelaki bermotosik­al yang melepaskan tembakan di bahagian belakang keretanya.

Mangsa pemilik syarikat import kepala lori membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban dan memaklumka­n tiada masalah perniagaan sejak menjalanka­n perusahaan 2009.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia