Harian Metro

Tergamak bunuh anak

 Remaja syak isteri ada hubungan sulit pukul mati bayi dua bulan

- New Delhi

Seorang bapa muda tergamak membunuh anak sendiri dengan membelasah mati bayi berusia dua bulan itu semata-mata mengesyaki ia dilahirkan hasil hubungan sulit isterinya dengan lelaki lain.

Suspek berusia 17 tahun itu dikatakan menumbuk dan mencekik anaknya, selain memukul dengan kasut menyebabka­n bayi itu mati.

Khaleej Times melaporkan, kejadian berlaku di rumah mereka di Mangolpuri, New Delhi ketika isteri suspek keluar mencari kerja di Palika Bazar, Sabtu lalu.

Apabila pulang beberapa jam selepas itu, dia mendapati anaknya sudah tidak bernyawa, namun suaminya tidak kelihatan di tempat kejadian.

Times of India melaporkan, suspek ditahan polis pada hari sama kejadian itu berlaku.

Jurucakap polis, Rajender Singh Sagar berkata, polis mendapat maklumat mengenai kes itu selepas ibu mangsa membawanya ke Hospital Sanjay Gandhi.

Doktor turut menemui kesan cekik pada leher bayi terbabit dan memaklumka­n polis.

Ibu mangsa memberitah­u polis, dia mengesyaki kematian anaknya itu akibat perbuatan suaminya.

“Kita cuba mengesan suspek sebelum menahannya di Mangolpuri. Dia mengaku mencekik anaknya selepas memukul bayi itu dengan kasut,” kata Sagar.

Menurut polis, ibu berusia 16 tahun itu pernah bekerja sebagai jurujual di kedai kosmetik dan menyara keluargany­a sejak suaminya menagih dadah.

Pasangan muda itu berkahwin di kuil kira-kira setahun lalu walaupun tidak direstui keluarga si isteri.

Bagaimanap­un, mereka akhirnya menerima hubungan itu selepas remaja perempuan terbabit hamil.

Suaminya mengesyaki isterinya menjalin hubungan sulit dengan rakan sekerja ketika bekerja di situ.

Suspek dibuang keluarga sendiri kerana sering terbabit jenayah dan mempunyai beberapa rekod mencuri telefon bimbit serta kini tidak bekerja.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia