Harian Metro

Super KIP mahu gegar Jerez

-

Kuala Lumpur: Litar Jerez di Sepanyol menjadi pembuka tirai bagi fasa Kejuaraan Motosikal Dunia di benua Eropah 6 Mei ini dan pelumba Moto2 negara, Khairul Idham Pawi mengharapk­an permulaan baru untuknya musim ini.

Selepas tiga pusingan di GP Qatar, Argentina dan terbaru di Amerika Syarikat awal pagi semalam, pelumba Idemitsu Honda Team Asia itu menamatkan saingan masing-masing di tangga ke-23, 24 dan 25 - satu prestasi yang hampir konsisten dengan pencapaian­nya tahun lalu.

Walaupun tidak menamatkan perlumbaan di GP Sepanyol tahun lalu, Khairul Idham atau dikenali sebagai SuperKIP enggan menoleh ke belakang, sebaliknya mahu mencari peningkata­n di Jerez.

“Untuk perlumbaan seterusnya, Jerez antara litar kegemaran saya,” kata Khairul Idham. “Saya akan cuba melakukan yang terbaik untuk mendapatka­n keputusan bagus.”

Khairul Idham menamatkan perlumbaan di Litar Americas di tangga ke-25 dengan catatan 40 minit 16.982 saat, ketinggala­n 46.966s di belakang pemenang

(gambar)

dari pasukan SKY Racing Team VR46, Francesco Bagnaia.

“Dalam perlumbaan, saya rasa motosikal ‘berat’, sukar untuk mengubah arah dengan pantas dan berada di laluan sepatutnya,” kata Khairul Idham yang pernah muncul juara GP Argentina dan Jerman dalam kelas Moto3 pada 2016.

“Kami dapat memperbaik­i (masalah) pergerakan di bahagian belakang secara sedikit demi sedikit, tapi ia masih belum sempurna sepenuhnya.”

Bermula di Jerez, sembilan pusingan selepas itu dijadual berlangsun­g di bumi Eropah sebelum memasuki rantau Asia.

Litar Antarabang­sa Buriram, Thailand dijadual menjadi tuan rumah bagi pusingan ke-15 buat kali pertama pada 7 Oktober depan sekali gus membuka persaingan di peringkat Asia.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia