Harian Metro

Tetap buru tiga mata

-

Johor Bahru: Walaupun hanya memerlukan keputusan seri, penolong jurulatih Song Lam Nghe An, Nguyen Huy Hoang menegaskan pasukannya tetap turun dengan misi memburu kemenangan pada aksi terakhir Kumpulan H Piala AFC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

Beliau yang hadir pada sidang media bagi menggantik­an ketua jurulatih, Nguyen Duc Thang yang terpaksa pulang ke Ho Chi Minh kerana masalah pasport mengakui peluang pasukannya untuk mara ke separuh akhir zon ASEAN sudah terjamin selaku pasukan kedua terbaik dalam Kumpulan F, G dan H jika seri menentang JDT.

“Kami memburu satu mata saja untuk layak ke separuh akhir, namun kami akan tetap beri tentangan sengit kepada JDT dalam perlawanan itu. Andai menang bonus buat kami kerana JDT pasukan hebat dan ia juga mungkin membantu kami muncul juara kumpulan.

“Apa yang melegakan saya, kami akan turun dengan kesebelasa­n terbaik kerana semua pemain bebas daripada kecederaan. Namun kami tetap buat persiapan rapi untuk berdepan JDT yang dibarisi pemain berkualiti.

“Kami diperkuatk­an tiga pemain kebangsaan Vietnam dan ia memberi keyakinan untuk berdepan JDT dan saya jangkakan ia perlawanan sengit walaupun kami menang 2-0 pada pusingan pertama,” katanya.

Huy Hoang mengakui aksi menentang skuad Harimau Selatan sememangny­a sukar memandang pasukan itu beraksi di laman sendiri dan sudah pasti mereka enggan mengalah dalam perlawanan itu nanti.

Song Lam Nghe An kini berada di tangga kedua selepas mengumpul 10 mata dan bersaing dengan kelab Indonesia, Persija Jakarta yang turut mengumpul 10 mata, namun dipisahkan dengan perbezaan jaringan selaku pendahulu kumpulan.

Kelab dari Vietnam itu bukan saja memburu slot tempat kedua terbaik zon ASEAN, malah berpeluang muncul juara kumpulan jika berjaya menewaskan JDT sambil berharap Persija tewas kepada Tampines Rovers.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia