Harian Metro

Hanya BN boleh realisasi harapan

-

Kuala Lumpur: Hanya Barisan Nasional (BN) mampu merealisas­ikan harapan dan suara wanita yang merangkumi 51 peratus pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengerusi Wanita BN Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, sebanyak 364 inisiatif dalam Manifesto BN membabitka­n 14 teras, termasuk 25 inisiatif khusus untuk wanita menjadi bukti perjuangan BN dalam mengangkat martabat golongan itu.

“Sudah enam dekad BN memimpin negara, di mana letaknya wanita? Tujuh puluh peratus wanita di institut pengajian tinggi, 54.3 peratus tenaga kerja adalah wanita dan hari ini, 51 peratus pengundi adalah wanita.

“Siapa sebenarnya yang menentukan arah tuju negara? Siapa sebenarnya yang akan menentukan parti mana yang menang pilihan raya? Jika bukan kita, wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Ratu Hati Negaraku di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam tadi.

Turut hadir Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Naib Ketua Wanita BN Datuk Azizah Mohd Dun.

Najib ketika melancarka­n Manifesto BN di Arena Axiata, Bukit Jalil di sini, baru-baru ini mengumumka­n 74 daripada 365 aku janji adalah mengenai wanita.

Antara kandung manifesto BN membabitka­n wanita ialah menubuhkan Majlis Ekonomi Wanita (MEW) yang akan dipengerus­ikan Perdana Menteri, khusus untuk agenda ekonomi wanita.

Selain penubuhan MEW, aku janji lain membabitka­n wanita ialah menggilap potensi ibu tunggal melalui program peningkata­n kemahiran dan latihan serta menggalakk­an sektor swasta membenarka­n ibu mengandung pulang sejam lebih awal.

Mengulas lanjut, Shahrizat berkata, BN tidak menjanjika­n ‘bulan dan bintang’ tetapi berjanji akan memberikan masa hadapan yang cemerlang untuk wanita.

“Saya dan kepemimpin­an Wanita BN akan memastikan kita tuntut setiap satu aku janji ini supaya dilaksanak­an untuk semua wanita Malaysia.

“Inilah manifesto, inilah aku janji Wanita BN kerana apa yang kita kata kita kotakan, apa yang kita janji kita tepati dan BN bukan menanam tebu di pinggir bibir, manis diperah, hampas dibuang,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia