Harian Metro

‘Ustazah, Haji’ kaki temberang

- Shahrinnah­ar Latib news@nstp.com.my

Seorang peniaga kerugian RM21,000 selepas diperdaya dua individu menyamar sebagai Ustazah dan Haji yang menawarkan ‘kontrak hantu’ bagi penyediaan makanan katering untuk 700 individu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superinten­dan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berusia 47 tahun berada di kantin sebuah sekolah agama di Kuala Tembeling, Jerantut jam 11.30 pagi kelmarin.

“Mangsa berjumpa seorang wanita yang memperkena­lkan diri sebagai Ustazah Maria. Wanita itu memaklumka­n seorang lelaki yang dikenali sebagai Haji Rahman mencari kontraktor penyediaan makanan.

“Ia untuk 700 peserta kursus di Pusat Penyelidik­an Pertanian Tun Abdul Razak (PPPTR) dengan kos belanja makan sehari RM28,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mohd Wazir berkata, untuk tujuan itu, mangsa berurusan dengan Haji Rahman dan mengarahka­nnya berjumpa seorang lagi suspek wanita lain di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) di Jengka, Maran bagi menguruska­n kontrak berkenaan.

“Pada hari sama lebih kurang jam 4.15 petang, mangsa menyerahka­n wang tunai RM21,000 untuk mendapatka­n kontrak berkenaan,” katanya.

Katanya, selepas menerima wang itu, mangsa diarahkan wanita terbabit berjumpa kadi di ruangan menunggu dalam pejabat PAID.

“Ketika menunggu kadi, mangsa bertanya kepada staf PAID mengenai kontrak berkenaan namun dimaklumka­n bahawa PAID tidak membuat sebarang penawaran penyediaan makanan.

“Mangsa keluar mencari suspek wanita terbabit namun suspek dipercayai sudah melarikan diri. Mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Jengka,” katanya.

Beliau berkata, pihak polis mengambil keterangan mangsa dan meneruskan siasatan terperinci termasuk melihat rakaman litar kamera tertutup (CCTV) di PAID untuk mengetahui individu yang menerima wang itu.

 Peniaga rugi RM21,000 terperdaya tawaran ‘kontrak hantu’ katering

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia