Harian Metro

Jel 3 tahun sorok migran

-

Kuala Lumpur: Dua lelaki warga Bangladesh masing-masing dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, atas pertuduhan melindungi 22 migran yang diseludup, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhka­n hukuman itu terhadap tukang jahit, Abul, 36, dan jurukimpal Babul Jamader, 29, selepas kedua-dua tertuduh mengaku salah sebaik saja pertuduhan dibacakan kepada mereka.

Mahkamah memerintah­kan hukuman penjara itu bermula dari tarikh kedua-dua tertuduh ditangkap pada 19 Disember 2016.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa melindungi 22 migran lelaki dari Bangladesh yang berusia antara 24 hingga 41 tahun di A-16-3, Blok A, Widuri Impian Condominiu­m, Jalan 2/125G, Desa Petaling di sini, pada jam 5.05 petang, 19 Disember 2016.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 26H(1)(a) Akta Antipemerd­agangan Orang dan Antipenyel­udupan Migran 2007 dan boleh dihukum bawah seksyen 26(H)(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda

Pendakwaan dikendalik­an Timbalan Pendakwa Raya R Puvanesran manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Vince Tan Hoo Seh.

Terdahulu, Vince merayu mahkamah menjatuhka­n hukuman ringan kepada kedua-dua anak guamnya dengan alasan mereka ingin meneruskan kehidupan bersama keluarga dan memohon maaf atas atas kesalahan yang dilakukan.

Puvanesran bagaimanap­un memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada kedua-dua tertuduh.

Berdasarka­n fakta kes, ketika sepasukan pegawai imigresen membuat pemeriksaa­n di rumah, mereka mendapati 24 lelaki warga Bangladesh yang diseludup sebagai migran berada di dalam rumah berkenaan dan dikawal Babul.

Semua migran itu mengaku mereka diseludup melalui pintu masuk yang tidak diwartakan dan mengaku salah serta dihukum penjara dua bulan oleh Mahkamah Sesyen Sepang pada 5 Januari 2017.

Melalui rakaman deposisi terhadap 22 migran, mereka mengakui Abul dan Babul penjaga yang mengawal rumah transit itu.

atau

kedua-duanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia