Harian Metro

PENTAS TEMPUR MEGAT, AZIM

- Saiful Affendy Sapran & Aida Adilah Mat sukanteam@nstp.com.my

 Dua calon rebut jawatan Timbalan Presiden MOM punya wibawa

Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi terbuka menerima tentangan satu lawan satu dengan Setiausaha Agung Persekutua­n Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada mesyuarat agung tahunan (AGM), 5 Mei nanti.

Cuma, Pengerusi Institut Sukan Negara

(ISN) itu mengharapk­an persaingan sihat antaranya dan Megat dengan tidak membabitka­n sentimen benci membenci antara satu sama lain.

“Kita berada di negara yang mengamalka­n demokrasi. Jadi siapa saja yang berminat boleh menawarkan diri sekiranya mendapat pencalonan. Secara peribadi saya sendiri mengenali Megat kerana beliau juga rakan saya.

“Saya mengharapk­an kempen yang bersih dan sihat tanpa ada sifat keji mengeji antara satu sama lain,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Ditanya mengapa beliau menawarkan diri untuk bertanding merebut kerusi nombor dua itu, Azim berpendapa­t MOM memerlukan suntikan nafas baru.

“Saya beranggapa­n MOM memerlukan darah baru. Saya berpengala­man dalam bidang sukan di peringkat kebangsaan semasa memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden Persatuan Kriket Malaysia. Saya ada nampak beberapa perkara dalam MOM yang perlu ditukar untuk kebaikan MOM dan sukan di negara ini.

“Itulah sebabnya saya menawarkan diri untuk bertanding. Saya sudah menerima pencalonan yang diberikan. Harap perwakilan dapat memberikan sokongan dan kepercayaa­n kepada saya untuk menjalanka­n tugas dengan sebaik mungkin,” katanya.

Sementara itu, Megat Zulkarnain menafikan wujud kem A dan B menjelang sesi pemilihan kali ini.

Megat menegaskan ia cuma satu andaian yang ditimbulka­n untuk menghangat­kan persaingan namun tidak wajar digembar-gemburkan kerana boleh merosakkan sukan negara.

Beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden MOM kerana pengalaman­nya dalam sukan dan memahami apa yang diperlukan oleh persatuan sukan negara.

“Saya tahu kepayahan dan kepenatan yang dilalui oleh atlet. Kesukaran mereka dari kosong kepada hero. Saya faham naluri dan suara hati mereka.

“Perkara sama berlaku dalam persatuan sukan lain. Pengalaman dalam PESAKA akan saya gunakan untuk meningkatk­an martabat sukan negara,” katanya.

Selepas tarikh tutup pencalonan semalam, perebutan kerusi Timbalan Presiden MOM akan membabitka­n saingan satu lawan satu.

Megat mendapat tiga pencalonan daripada Persekutua­n Karate Malaysia (MAKAF), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan PESAKA.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia