Harian Metro

HELLO! HELLO!

- Mohd Jamilul Anbia Md Denin news@nstp.com.my

Pengunjung panik haiwan liar muncul rosakkan pagar besi, makan pokok palma di R&R JRTB

Orang ramai yang berhenti makan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) berhampira­n Puncak Titiwangsa, Gerik, Perak, gempar apabila seekor gajah dewasa ‘singgah makan’ di kawasan hentian itu selain merobohkan pagar besi kawasan berkenaan.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindung­an Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kejadian dilaporkan berlaku jam 6 petang kelmarin, apabila pihak PERHILITAN di Gerik dimaklumka­n anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik berhubung kemunculan seekor gajah.

Menurutnya, kemunculan gajah di Hentian R&R, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli menyebabka­n pengunjung lari ketakutan.

“Lima kakitangan PERHILITAN ke lokasi kejadian. Walau bagaimanap­un, gajah itu sudah keluar dari kawasan hentian dan memasuki semula hutan berhampira­n.

“Tiada kejadian tidak diingini berlaku pada orang awam dan gajah itu hanya merosakkan pagar serta memakan pokok palma yang ditanam di tepi hentian berkenaan,” katanya.

Menurutnya, berdasarka­n gambar diambil pekerja di hentian itu, ia gajah jantan dengan diameter tapak kaki sekitar 38.10 sentimeter.

Kadir berkata, susulan kejadian itu, pihaknya akan terus memantau kawasan berkenaan bagi mengelakka­n sebarang kejadian tidak diingini.

Kejadian itu turut tular di media sosial apabila kelibat gajah setinggi lebih tiga meter itu dilihat melanggar pagar besi sebelum berjalan di dalam kawasan R&R berkenaan.

Ini antara kejadian terbaru selepas sekumpulan gajah menceroboh penempatan penduduk di FELDA Selendang Dua di sini, 2 April lalu.

Penduduk hanya menyedari gajah memusnahka­n tanaman apabila melihat kerosakan dan penemuan najis haiwan berkenaan.

Kadir berkata, tindakan haiwan liar keluar dari habitat asal banyak berpunca daripada aktiviti penerokaan hutan selain kegiatan pertanian tidak terkawal.

 ??  ?? GAJAH jantan muncul di Hentian R&R, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli sebelum merosakkan pagar.
GAJAH jantan muncul di Hentian R&R, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli sebelum merosakkan pagar.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia