Harian Metro

ZULFARHAN KAKU

- Nor Azura Abdul Jalil zura_jalil@nstp.com.my

Saksi beritahu rakan lama maklum

mangsa terbabit kemalangan

Seorang saksi memberitah­u Mahkamah Tinggi di sini, rakan lamanya membawa pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Pegawai Kadet Zulfarhan Osman Zulkarnain ke rumah sewanya pada 31 Mei tahun lalu kerana mereka ingin mendapatka­n rawatan di sebuah klinik di Bangi.

Penuntut Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Muhammad Nazrin Mohd Redzuan, 21, berkata, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal (tertuduh pertama) yang dikenaliny­a sejak sekolah menengah datang ke rumah sewanya di apartmen De Centrum, Bangi bersama Zulfarhan dan seorang lagi rakan mereka iaitu Muhammad Azamuddin Mad Sofi (tertuduh kedua) yang kedua-duanya hanya dikenali pada hari berkenaan.

Menurut saksi pendakwaan ke-11 itu, ketika dia sampai ke rumah jam 12 tengah malam selepas bermain futsal, dia mendapati ketiga-tiga lelaki itu berada di ruang tamu rumahnya.

Katanya dia juga tidak banyak bercakap dengan Zulfarhan serta tidak mengetahui lanjut mengenai mangsa kecuali nama dan jurusan yang dipelajari­nya.

“Zuhairi dan Azamuddin duduk di kerusi manakala Zulfarhan yang berbaju batik dan berkain pelekat pula berbaring di atas tilam di ruang tamu.

“Saya bertanya kepada Zuhairi apa yang terjadi ke atas Zulfarhan dan Zuhairi berkata, Zulfarhan mengalami kemalangan namun tak dinyatakan kemalangan apa.

“Dalam fikiran saya, mungkin kemalangan motosikal. Saya hanya nampak kecederaan di tangan Zulfarhan. Zuhairi memberitah­u mereka ingin ke klinik di Bangi pada keesokan harinya,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Othman Abdullah pada perbicaraa­n kes bunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan.

Muhammad Nazrin berkata, pada 1 Jun 2017, selepas berbuka puasa, dia berehat di dalam bilik sebelum Azamuddin mengetuk pintu bilik dan menyuruhny­a melihat Zulfarhan yang kaku dan tidak bergerak.

“Zuhairi tanya saya boleh beri bantuan pernafasan atau tidak, saya cakap saya tak tahu. Selepas itu, dia terus menghubung­i ambulans dan tidak lama kemudian, Zulfarhan di bawa ke hospital,” katanya yang tidak mengikut ambulans itu ke hospital.

Dalam kes itu, enam penuntut iaitu Muhammad Akmal Zuhairi, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali, didakwa membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di Bilik 04-10, Blok Penginapan Asrama Jebat, UPNM, di antara jam 4.45 pagi dan jam 5.45 pagi, 22 Mei tahun lalu. Pertuduhan terhadap mereka yang semua berusia 22 tahun itu dikemukaka­n mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan, yang memperuntu­kkan hukuman mati mandatori.

Mereka bersama 13 penuntut lain turut didakwa dengan sengaja menyebabka­n cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatka­n pengakuan mencuri komputer riba.

Dakwaan dikemukaka­n mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Perbicaraa­n di depan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 14 Mei ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia