Harian Metro

ANGKAT ‘PRODUK’ LOKAL

Kejayaan empat jurulatih tempatan bawa pasukan ke separuh akhir Piala FA bukti mereka ada kelebihan

- Syafiq Aznan syafiq.aznan@nstp.com.my

Sudah tiba masanya pasukan yang beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) tidak terlalu mengagungk­an jurulatih luar, sebaliknya memberi lebih penghargaa­n dan peluang kepada jurulatih tempatan.

Itu reaksi Pensyarah Kanan Sains Kejurulati­han Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Zulakbal Abd Karim ketika diminta mengulas mengenai kejayaan empat jurulatih tempatan membawa pasukan masing-masing mara ke pentas separuh akhir Piala FA musim ini.

Menurut Pengajar Elit Konfederas­i Bolasepak Asia (AFC) itu, pencapaian yang diraih jurulatih tempatan itu menjadi petunjuk betapa mereka juga memiliki mentaliti dan taktikal lebih baik menerusi kemenangan yang dilakar oleh barisan pemain mereka ke atas pasukan lawan.

“Jurulatih tempatan ada kelebihan kerana kalau kita lihat, semuanya sudah ‘masak’ dan memiliki pemahaman yang luas mengenai bola sepak tempatan sekali gus membuktika­n mereka tahu taktikal mengikut keperluan untuk menang.

“Kadangkala jurulatih import memiliki ego tersendiri dan tetap mahu gunakan falsafah yang sudah diterapkan tetapi tidak sesuai dengan perlawanan yang akan diharungi.

“Ini menunjukka­n mereka tahu apa keperluan yang perlu diterapkan untuk memenuhi kehendak perlawanan jangka pendek seperti Piala FA dan saya berpendapa­t pencapaian ini akan mengubah tanggapan bahawa jurulatih tempatan setanding dengan jurulatih import,” katanya ketika dihubungi semalam.

Empat pasukan yang mengesahka­n tempat ke separuh akhir Piala FA musim ini dibimbing oleh jurulatih tempatan iaitu Dollah Salleh (Pahang), Abu Bakar Fadzim (PKNP FC), Datuk K Rajagobal (PKNS FC) dan Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir (Selangor).

Malah, tiga daripadany­a menundukka­n jurulatih import yang menyaksika­n Pahang menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dibimbing Raul Longhi sementara PKNS FC mengetepik­an Perak di bawah kendalian Mehmet Durakovic dan Selangor membenam cabaran anak buah Fabio Maciel (Kuala Lumpur).

Mengulas lanjut mengenai isu sama, Zulakbal turut berpendapa­t jaringan luas yang dimiliki jurulatih tempatan digunakan sebaik mungkin dalam usaha untuk melakukan pelan terbaik bagi membendung taktikal pasukan lawan.

“Mungkin mereka melakukan risikan dan mendapatka­n maklumat daripada setiap pasukan, jadi mereka dapat merencanak­an perancanga­n yang terbaik untuk mengharung­i sesuatu perlawanan.

“Ini membuktika­n jurulatih tempatan juga bijak malah mungkin lebih baik berbanding jurulatih luar,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia