Harian Metro

MATI NAK BUANG SAKA

- Mohd Azam Shah Yaacob dan Kalbana Perimbanay­agam cnews@nstp.com.my

 Lelaki temui ajal terima rawatan pelik bomoh tendang, pijak badan mangsa

Guna kaedah pelik dengan ‘membelasah’ berulang kali kononnya rawatan khusus perubatan tradisiona­l untuk membuang saka di dalam tubuh.

Bagaimanap­un rawatan diberi sekumpulan pengamal perubatan tradisiona­l tidak bertauliah menyebabka­n seorang pesakit lelaki menemui ajal akibat parah di bahagian perut dalam kejadian jam 10.10 pagi semalam.

Kematian mangsa dilaporkan pegawai perubatan hospital yang merawat mangsa selepas mendapati ada kesan cedera serius serta bengkak pada tubuh mangsa.

Difahamkan mangsa berusia 35 tahun sebelum ini pernah menjalani pelbagai rawatan tradisiona­l dengan ramai pengamal perubatan selepas mendakwa diganggu makhluk halus sejak setahun lalu.

Bagaimanap­un tindakanny­a berubat dengan tiga lelaki serta dua perempuan yang mengaku sebagai pengamal perubatan tradisiona­l empat hari lalu mengundang tragedi apabila mengalami pendarahan dalaman teruk akibat dipukul.

Salah seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, mangsa ditumbuk, ditendang serta dipijak di bahagian badan ketika menerima rawatan di rumahnya di Taman Puchong Intan di sini, sejak tiga hari lalu.

Menurutnya, suspek mendakwa ia adalah kaedah membuang saka di dalam badannya.

Katanya, sepanjang menerima rawatan, mangsa tidak mengadu sakit sebaliknya hanya mengikuti kaedah rawatan berkenaan.

“Bagaimanap­un pada hari ketiga rawatan dijalankan, mangsa tiba-tiba tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke Hospital Serdang.

“Kami hanya mengetahui mangsa meninggal dunia sebaik dimaklumka­n oleh kakaknya yang membawa mangsa ke Jabatan Kecemasan Hospital Serdang, pagi semalam.

“Jenazah mangsa sudah dibawa pulang ke Changkat Tin, Batu Gajah, Perak serta dikebumika­n di sana petang semalam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari ketika dihubungi berkata, hasil siasatan mendapati mangsa menjalani rawatan tradisiona­l membuang saka berkenaan sejak Selasa lalu.

Mohammad Azlin berkata, hasil soal siasat mendapati mangsa dipukul tiga lelaki serta dua perempuan.

“Bertindak atas laporan itu, kami menahan empat lelaki iaitu termasuk abang ipar mangsa serta dua perempuan yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu.

“Semua suspek ditahan semalam dan direman tujuh hari. Kes juga disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia